MPI – TV Alhijrah : Perkasa Kompetensi Penghasilan Kandungan Digital Melalui Praktikal

CYBERJAYA, 5 Ogos 2026 – Kursus Penghasilan Kandungan Digital Berimpak untuk TV AlHijrah diteruskan ke hari kedua hari ini di AlHijrah Nexus, Cyberjaya dengan penekanan terhadap latihan praktikal dan aktiviti interaktif bagi memperkukuh kemahiran peserta dalam menghasilkan kandungan digital yang lebih kreatif dan berkesan.

Seramai 15 wartawan dan pengamal media TV AlHijrah yang menyertai kursus ini didedahkan kepada teknik penghasilan video berimpak yang meliputi perancangan visual, komposisi kamera, sudut rakaman, pencahayaan serta teknik penyampaian kandungan digital yang mampu menarik perhatian khalayak di pelbagai platform media.

Pengajar kursus, Encik Mohamad Zaki Haji Abdul Rahim, yang berpengalaman luas dalam bidang penerbitan video, pengarahan dan pengurusan produksi di TV3 dan RTM, turut memberikan tugasan berkumpulan kepada peserta untuk menghasilkan beberapa video ringkas. Setiap kumpulan kemudiannya membentangkan hasil kerja masing-masing bagi mendapatkan maklum balas membina, selain berkongsi idea serta menilai kekuatan dan aspek yang boleh dipertingkatkan dalam penghasilan kandungan digital.

Kursus selama dua hari ini berakhir dengan majlis penyampaian sijil kepada semua peserta yang disempurnakan oleh En. Mohamad Zaki Haji Abdul Rahim sebagai tanda penghargaan atas penyertaan dan komitmen mereka sepanjang program berlangsung.

Tahniah MPI ucapkan buat semua peserta TV Alhijrah.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest