MPI Jalin Hubungan Strategik dengan Unit Komunikasi Korporat KESUMA

Putrajaya, 25 November 2025 – Malaysian Press Institute (MPI) hari ini telah menghadiri sesi perbincangan bersama Unit Komunikasi Korporat (UKK), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di Putrajaya.

Pertemuan ini diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail, bersama barisan Pengurus Kanan Unit Pengurusan Projek, Puan Norhafiza Kamaludin dan Dr. Nuzatul Shima Sulaiman. Pihak KESUMA pula diwakili oleh Ketua Komunikasi Korporat, Puan Nur Risyah Musa; Ketua Seksyen Hal Ehwal Korporat, Puan Azwarni Herni Che Noh serta Encik Imran Ishak selaku Penolong Pegawai Perhubungan Awam.

Sesi perbincangan ini membuka ruang untuk kedua-dua pihak meneliti potensi kerjasama strategik yang boleh memberi manfaat kepada pembangunan komunikasi korporat dan pengurusan media dalam sektor kerajaan. MPI turut berkongsi peranan serta komitmennya sebagai sebuah organisasi yang memfokuskan kepada peningkatan profesionalisme media, termasuk latihan kewartawanan, pengurusan kandungan digital, serta program-program pembangunan kapasiti.

Usaha ini juga selari dengan matlamat MPI untuk mengekalkan kedudukan sebagai pusat kecemerlangan kewartawanan nasional dan digital, selain memperkukuh ekosistem media melalui pengiktirafan karya terbaik, penganjuran anugerah, penerbitan, dan penyelidikan industri. Pertemuan ini diharap menjadi langkah awal kepada kerjasama lebih kukuh antara MPI dan KESUMA pada masa hadapan.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest