KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2026 – Integrasi teknologi kecerdasan buatan generatif (Generative AI) dalam bidang media sukan menjadi fokus Kursus Integrasi Generatif AI dalam Media Sukan: Strategi Penghasilan Kandungan Digital dan Liputan Masa Nyata yang berlangsung pada 8 dan 9 Oktober 2026 di Pejabat Harimau Malaya, Kuala Lumpur.
Kursus anjuran Malaysian Press Institute (MPI) itu disertai sembilan peserta dan dikendalikan oleh Munir Anaam Zuljadan yang berkongsi pengetahuan serta kemahiran berkaitan penggunaan teknologi AI dalam penghasilan kandungan digital dan pelaksanaan liputan media sukan secara masa nyata.
Program berkenaan memberi pendedahan kepada peserta mengenai potensi penggunaan AI generatif dalam memperkukuh penyampaian maklumat, meningkatkan kreativiti serta menghasilkan kandungan media yang lebih menarik dan relevan dengan keperluan audiens masa kini.
Selain itu, peserta turut didedahkan kepada pendekatan penggunaan teknologi AI bagi menyokong proses penghasilan kandungan dan menyesuaikan strategi liputan sukan dengan perkembangan landskap media digital yang semakin dinamik.
Penganjuran kursus ini mencerminkan usaha berterusan MPI dalam memperkasa kemahiran pengamal media menerusi penerapan teknologi baharu, sekali gus membantu meningkatkan keupayaan mereka menghasilkan kandungan yang kreatif, berkualiti dan sesuai dengan perkembangan industri media.
#mpicommit







