KUALA LUMPUR, 24 Februari 2026 – Malaysian Press Institute (MPI) memperkukuh agenda pembangunan profesionalisme media negara menerusi kunjungan hormat ke atas YB Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi, di Bangunan Parlimen Malaysia hari ini.
Pertemuan itu memfokuskan kepada perancangan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-PETRONAS dan Malam Wartawan Malaysia sebagai platform pengiktirafan tertinggi industri, selain memperincikan strategi memperkasa latihan media dan komunikasi yang dilaksanakan MPI. Penekanan turut diberikan terhadap pengukuhan etika kewartawanan, peningkatan kompetensi digital serta keperluan latihan berterusan dalam mendepani landskap media yang semakin mencabar.
MPI diketuai Presidennya, Datuk Yong Soo Heong, bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail; Pengurus Besar, Norlida Jamain; serta Eksekutif Kandungan Kreatif, Muhammad Asyraf Rosmidi.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai kepentingan latihan berstruktur dan pensijilan profesional sebagai asas memperkukuh kredibiliti serta kepercayaan awam terhadap institusi media. Perbincangan turut menyentuh keperluan kerjasama strategik antara kementerian, industri dan institusi latihan bagi memastikan pengamal media kekal relevan, berdaya saing dan berintegriti.
MPI menegaskan komitmennya untuk terus berperanan sebagai peneraju latihan dan pembangunan profesional media di Malaysia, selaras dengan aspirasi memperkasa standard kewartawanan yang beretika, berkualiti dan berimpak tinggi.



