KOTA KINABALU, 3 Februari — Malaysian Press Institute (MPI) merancang pelaksanaan siri bengkel kewartawanan, media dan komunikasi bersama Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sabah sebagai usaha memperkukuh kemahiran, kecekapan serta kualiti pelaporan dan penyampaian maklumat secara lebih berkesan.
Sehubungan itu, MPI mengadakan kunjungan hormat ke JAPEN Sabah bagi membincangkan potensi kerjasama penganjuran program bersama yang bersifat komprehensif dan berimpak tinggi kepada pembangunan kompetensi kakitangan jabatan berkenaan.
Perbincangan memfokuskan kepada cadangan pakej bengkel yang merangkumi pelbagai aspek utama, antaranya penulisan kewartawanan, penghasilan kandungan kreatif, visual dan multimedia, serta aliran kerja penerbitan kandungan digital selaras dengan keperluan komunikasi semasa.
Dalam sesi tersebut, kedua-dua pihak menekankan peranan strategik JAPEN Sabah sebagai agensi penting dalam menyampaikan dasar, inisiatif dan maklumat kerajaan kepada masyarakat tempatan di Sabah, sekali gus memastikan penyampaian yang tepat, berfakta, berkesan dan berimpak.
Delegasi MPI diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail, bersama Puan Norlida Jamain, Pengurus Besar MPI dan Encik Muhammad Asyraf Rosmidi, Eksekutif Kandungan Kreatif.
Sementara itu, JAPEN Sabah diwakili oleh Puan Jainisah Mohd Noor, Pengarah Penerangan Sabah, serta barisan pengurusan kanan termasuk Dr. Diana Dominic (Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat), Encik Peter Tong Ah Pin (Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat), Puan Nur Aliah Safiah Zulkifly (Penolong Pengarah, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat), Encik Nuzuluddin Abd Razak (Penolong Pengarah, Bahagian Media Siber), Encik Nazri Ramsyah Abdul Basah (Penolong Pegawai Penerangan, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat) serta jurufoto jabatan.
Turut hadir wakil Sabah Journalists Association (SJA), Presidennya, Puan Mariah Doksil yang juga merupakan Ahli Majlis Pentadbir MPI.
Kunjungan ini diharapkan dapat membuka ruang kolaborasi strategik dan berterusan antara MPI dan JAPEN Sabah dalam memperkukuh kecekapan komunikasi strategik serta meningkatkan tahap profesionalisme pengamal media di negeri ini.



