Malaysian Press Institute (MPI) hadir bersama rakan-rakan media dan para pempengaruh dalam Majlis Berbuka Puasa MADANI yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana bersama YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 27 Februari 2026.
MPI diwakili oleh Presiden, Datuk Yong Soo Heong serta Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail. Kehadiran MPI mencerminkan komitmen berterusan institut ini dalam memperkukuh jaringan strategik bersama pengamal media dan pemain industri komunikasi negara.
Perdana Menteri menzahirkan penghargaan terhadap peranan media dan pempengaruh yang disifatkan amat penting dalam menyampaikan maklumat sahih, membina wacana sihat serta memperkukuh kefahaman rakyat terhadap dasar dan hala tuju negara. Beliau turut menekankan cabaran era maklumat masa kini yang menuntut ketelitian, tanggungjawab dan integriti tinggi dalam penyampaian berita.
Pada majlis sama, beliau berkesempatan menyaksikan penyampaian sumbangan TabungKasih@HAWANA kepada sepuluh veteran media yang sedang berdepan masalah kesihatan dan kesempitan hidup sebagai tanda keprihatinan, khususnya dalam membuat persiapan menjelang Aidilfitri.
Majlis berbuka puasa ini bukan sahaja menjadi medan mengeratkan silaturahim, malah menyuburkan nilai ihsan, kebersamaan dan tanggungjawab bersama.



