Kuala Lumpur, 9 April 2026 — Malaysian Press Institute (MPI) telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo, bagi membincangkan potensi kerjasama strategik dalam memperkasa bidang digital dan kecerdasan buatan (AI).
Pertemuan tersebut memberi fokus kepada beberapa cadangan utama, termasuk penganjuran program bersama pencipta kandungan digital yang menekankan aspek kemahiran digital dan penggunaan AI. Inisiatif ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh keupayaan pencipta kandungan untuk beradaptasi dengan perubahan landskap teknologi semasa, selain menekankan etika penggunaan AI.
Selain itu, MPI turut mencadangkan penglibatan agensi-agensi di bawah Kementerian Digital seperti Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan CyberSecurity Malaysia dalam pelaksanaan program-program berkaitan. Kerjasama ini dijangka dapat memperkukuh ekosistem digital negara melalui kepakaran teknikal, pembangunan bakat serta peningkatan kesedaran terhadap keselamatan siber dalam kalangan pengamal media dan pencipta kandungan.
Perbincangan turut menyentuh kepentingan agenda pembangunan negara dalam era digital, dengan cadangan pelaksanaan program bersama pelajar bagi membentuk generasi celik media dan teknologi, sekali gus menyumbang kepada pembangunan masyarakat berinformasi dan berdaya saing.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Setiausaha Akhbar kepada YB Menteri, Encik Kabilan Kandasamy.
Delegasi MPI diketuai oleh Naib Presiden, Encik Brian Martin, bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail; Pengurus Besar, Puan Norlida Jamain; serta Eksekutif Kandungan Kreatif, Encik Muhammad Asyraf Rosmidi.



