CYBERJAYA, 17 Disember 2025 – Malaysian Press Institute (MPI) hari ini memperkukuh agenda pemerkasaan profesionalisme komunikasi dan media negara menerusi satu pertemuan strategik bersama Pejabat Komunikasi Strategik, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam yang berlangsung di Pusat Latihan MPI, Cyberjaya. Pertemuan ini menandakan langkah penting ke arah penyelarasan kerjasama berimpak tinggi antara industri media dan institusi pengajian tinggi, khususnya dalam aspek latihan media berpiawaian industri, pembangunan bakat mahasiswa, kemahiran penyampaian untuk staf komunikasi korporat serta pengiktirafan profesional dalam bidang komunikasi strategik di semua peringkat UiTM.
Pertemuan tersebut menjadi platform perbincangan menyeluruh melibatkan perancangan inisiatif bersama antara MPI dan UiTM, termasuk penerokaan model kerjasama jangka panjang yang mampu merapatkan jurang antara keperluan industri dan latihan akademik. Usaha ini dilihat selari dengan keperluan landskap media semasa yang semakin dinamik, sekali gus memperkukuh ekosistem komunikasi dan media negara melalui penglibatan langsung institusi latihan profesional dan universiti awam.
“MPI bercadang membawa inisiatif pengiktirafan dan pembangunan bakat media ini lebih jauh melalui penganjuran Anugerah Media khusus bagi institusi pengajian tinggi, dengan MPI bertindak sebagai panel juri untuk memastikan penilaian dilakukan secara profesional, berintegriti, dan selaras dengan piawaian industri,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail.
Kunjungan dari UiTM Shah Alam ini diketuai oleh Penolong Naib Canselor (Komunikasi Strategik), Profesor Dr. Ismie Roha Mohamed Jais bersama Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, Ts. Dr. Hayati Abd Rahman. Turut serta ialah Ketua Unit Perhubungan Awam dan Media, Encik Abuzar Abdul Halim; Ketua Bahagian Pengurusan Jenama dan Media Kreatif, Encik Norhilman Nordin; Ketua Unit Pentadbiran dan Sumber Manusia, Encik Ibrahim Abd Ghani; Ketua Unit Kualiti dan Khidmat Pelanggan, Puan Adilla Hayati Mohd Satali; Ketua Unit Pengurusan Acara dan Protokol, Puan Izmawati Sodding; Ketua Unit Pengurusan Jenama, Puan Haryati Kamaruddin; Pegawai Eksekutif Kanan, Encik Wan Mohd Lutfi Hakim Wan Sulieman; Ahli Fotografi Kanan, Encik Roslan Daud serta Kerani, Puan Nurul Nadia Mohd Din.
Disambut oleh delegasi MPI termasuk Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong; Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail; Pengurus Besar, Puan Norlida Jamain; wakil Unit Pentadbiran dan Kesetiausahaan, Puan Norfatin Syahira Jusoh serta Pelatih Reka Kandungan, Aisyah.
MPI berharap kerjasama strategik ini akan menjadi pemangkin kepada pengukuhan hubungan berterusan antara industri media dan institusi pengajian tinggi, selaras dengan keperluan landskap media masa kini yang semakin dinamik dan berteraskan profesionalisme.







