CYBERJAYA, 6 Februari 2025 – Malaysian Press Institute (MPI) buat pertama kali menganjurkan “MPI Bersama Tenaga Pengajar Profesional”, satu sesi khas sebagai penghargaan kepada tenaga pengajar profesional yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan program latihan MPI, sama ada yang telah dilaksanakan mahupun yang akan datang.
Selain sebagai tanda penghormatan, sesi ini juga berfungsi sebagai platform strategik untuk membincangkan hala tuju dan perancangan masa depan MPI dalam bidang latihan. Ia turut memberi ruang kepada tenaga pengajar profesional untuk berkongsi pandangan serta cadangan bagi memastikan program latihan MPI kekal relevan dengan perkembangan industri media yang pesat berubah.
Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong, menekankan bahawa pertemuan ini memberikan manfaat besar dalam pembangunan program latihan yang lebih berkualiti, hasil daripada sumbangan idea dan kepakaran tenaga pengajar yang berpengalaman.
Diskusi kali ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kualiti pengajaran, meningkatkan standard latihan serta memastikan tenaga pengajar terus selari dengan keperluan semasa industri media. Dalam sesi tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Haji Ainol Amriz Ismail, turut menyampaikan taklimat mengenai strategi dan inisiatif yang akan diterajui MPI.
Dengan perkongsian pengalaman serta saranan daripada tenaga pengajar profesional, MPI bertekad untuk terus memacu pembangunan kewartawanan selain merealisasikan aspirasinya menjadi Pusat Latihan, Rujukan dan Penyelidikan utama bagi pengamal media.
Antara fokus utama yang diketengahkan adalah pandangan Tenaga Pengajar Profesional berkait program latihan 2025 dan tahun-tahun seterusnya, perbincangan berkaitan mekanisme mengiktirafkan pengajar-pengajar ini sebagai media profesional daripada badan pengiktiraf, penglibatan dalam sumbangan penulisan artikel untuk website MPI secara percuma dan penglibatan dalam penulisan e-journal Kewartawanan MPI.
Antara Tenaga Pengajar Profesional yang hadir termasuklah:
- Prof Madya Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz
- Datuk Badrul Hisam Othman
- Datuk Mokhtar Hussain
- Dr. Manimaran a/l Govindasamy
- Puan Farrah Naz Karim
- Puan Sri Diah Shaharuddin
- Encik Nizal Mohammad
- Encik Mohammed Hazli Mohammed Hassan
- Encik Mohd. Faizal bin Zakaria
- Encik Munir Anaam Zuljadan
- Encik Ali Imran Noordin
- Encik Mahfooz Nabi Rasool
- Encik Azeman Said
- Puan Nurul Azni Yahaya
- Puan Suziyana Sukri
- Cik Tan Su Lin
- Tuan Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman






