CYBERJAYA 13 Mei 2025 – Malaysian Press Institute (MPI) hari ini menyatakan penghargaan kepada semua penyumbang Malam Wartawan Malaysia 2025 (MWM 2025) dalam satu majlis yang berlangsung di Hotel Hilton Petaling Jaya, dekat sini.
Penghargaan itu bertujuan meraikan semua penyumbang yang selama ini memberikan sokongan padu dalam merealisasikan MWM, di mana akan dilangsungkan pada 20 Jun 2025 di Hotel The Majestic Kuala Lumpur. Pada malam yang sama akan dilangsungkan juga Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2024 (HKM 2024) yang akan dihadiri YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri.
Pada majlis yang sama hari ini, dilangsungkan sesi Townhall yang bertujuan membuka ruang kepada rakan korporat, agensi kerajaan dan penaja untuk mendapatkan gambaran senario media semasa, sekali gus mendapatkan gambaran peluang bagi liputan dalam agensi media berkaitan.
Sesi ini merupakan kali kedua dianjurkan, di mana yang pertama dilakukan tahun lalu untuk perbincangan dua hala antara MPI dan rakan korporat, agensi kerajaan serta penaja dengan matlamat memperkukuh hubungan strategik serta menyelaras aspirasi bersama dalam memajukan landskap kewartawanan nasional.
Inisiatif ini turut mencerminkan pengiktirafan MPI terhadap peranan penting sektor korporat, agensi kerajaan dan media dalam menjayakan agenda pembangunan industri media di Malaysia.
Seramai 130 tetamu hadir mewakili 40 organisasi dari pelbagai latar belakang termasuk syarikat korporat dan badan berkaitan kerajaan bertujuan bagi menzahirkan solidariti dan komitmen mereka terhadap acara tahunan yang berprestij ini.
Sebagai simbol penghargaan wakil terlibat telah menyerahkan replika cek kepada MPI, menandakan sokongan berterusan terhadap usaha memperkasakan kewartawanan tempatan. Sumbangan ini bukan sahaja memastikan kelancaran penganjuran MWM 2025, malah melambangkan kepercayaan mereka terhadap peranan media dalam pembinaan negara.
PETRONAS tampil selaku penaja utama Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI–PETRONAS 2024 (HKM 2024), dengan tajaan berjumlah RM450,000.00. Tajaan itu disampaikan oleh Cik Jalina Joheng, Pengurus Besar Komunikasi Media, Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS.
Komitmen PETRONAS sejak tahun 1994 dalam mengangkat mutu kewartawanan menerusi penajaan utama ini membuktikan sokongan berterusan terhadap pengiktirafan karya-karya bermutu tinggi di negara ini.
Bagi penganjuran MWM 2025 pula, MPI berkolaborasi dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjadikan jumlah keseluruhan tajaan yang diterima MPI mencecah RM799,500.00 daripada 51 organisasi termasuk entiti korporat, kementerian, agensi kerajaan dan organisasi media.
Dana ini akan digunakan sepenuhnya untuk memastikan MWM 2025 mencapai piawaian tertinggi dan berjaya menghimpunkan tokoh-tokoh media dari seluruh negara.
Penyertaan Cemerlang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI–PETRONAS 2024 (HKM 2024)
Bagi tahun ini, MPI menerima sebanyak 548 penyertaan daripada pengamal media merentasi 21 kategori yang dipertandingkan dalam HKM 2024. Ini merupakan peningkatan sebanyak 60 penyertaan berbanding tahun sebelumnya. Seramai 58 organisasi media dari seluruh negara termasuk dari Sabah dan Sarawak telah menyertai, membuktikan peningkatan kesungguhan serta minat terhadap penghasilan karya kewartawanan berkualiti tinggi dan berimpak besar.
Sesi Townhall bersama Penaja
Sesi Townhall tahun ini merupakan penganjuran kali kedua dianjurkan sebagai acara sampingan yang interaktif. Sesi ini membuka ruang kepada penaja dan penyumbang untuk bertukar pandangan serta memperoleh pencerahan secara langsung daripada panel profesional berkenaan topik “Ruang dan Peluang Liputan Media”. Ia bertujuan memperkukuh persefahaman antara industri dan media, khususnya dalam aspek penyampaian mesej korporat dan komunikasi strategik yang lebih berkesan kepada khalayak.
MPI merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua penyumbang yang telah bersama-sama menjayakan MWM 2025. Sokongan ini membuktikan bahawa dunia kewartawanan terus relevan dan mendapat kepercayaan sebagai medium penting dalam memperkukuh maklumat sahih dan membentuk masyarakat bermaklumat.















































