Ucapan aluan Malam Wartawan Malaysia 2016  

Selamat datang, terima kasih dan tahniah kepada pemenang

Ucapan alu-aluan Pengerusi Jawatankuasa Induk Malam Wartawan Malaysia 2016, Datuk Dr. Chamil Wariya pada 20 Mei 2016, jam 8 malam di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.

Selaku Pengerusi Malam Wartawan Malaysia 2016, saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua tetamu ke majlis ini pada malam ini. Tidak ada yang lebih membahagiakan saya selain untuk melihat bahawa acara tahunan anjuran Malaysian Press Institute (MPI) terus mendapat sokongan padu daripada para wartawan, organisasi media, sahabat-sahabat korporat institut. Kehadiran anda beramai-ramai malam ini ialah bukti sokongan itu.

Saya juga ingin merakamkan penghargaan istimewa MPI kepada YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang hadir buat pertama kalinya ke majlis ini selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan juga kepada YB Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak, yang juga hadir buat pertama kali sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia yang mengikut tradisi adalah penaung Malam Wartawan Malaysia.

Sesungguhnya tidak dapat saya zahirkan dengan kata-kata akan rasa terima kasih saya dan seluruh Ahli Majlis Pentadbir MPI yang amat mendalam kepada anda yang terus gigih tampil membantu usaha kami untuk mengiktiraf kecemerlangan golongan wartawan di negara ini.

Malam ini 24 orang lagi wartawan akan naik ke pentas ini, untuk diangkat sebagai pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS bagi l8 kategori yang mereka sertai; mereka akan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, trofi dan sijil tajaan PETRONAS tentunya. Dan buat pertama kalinya 50 wartawan yang layak ke pusingan akhir akan menerima hadiah sagu hati bernilai RM1,000 dan sijil. Bilangan wartawan adalah lebih tinggi berbanding kategori kerana bagi kategori tertentu ada pemenang bersama, atau pemenang berkumpulan sehingga 10 orang. Tahniah dan syabas saya ucapan kepada mereka.

Penghargaan kami yang utama tentulah kepada PETRONAS, syarikat minyak negara yang menaja Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI PETRONAS. PETRONAS ialah penaja HKM sejak 1994 dan kuantum tajaan sejak tujuh tahun yang lalu bernilai RM300,000 setahun. Sekiranya harga minyak mentah dunia melonjak semula, mungkin kuantum itu boleh dipertimbangkan untuk dinaikkan.

Tentunya kami tidak boleh melupakan sumbangan pelbagai pihak, termasuk sektor korporat, agensi-agensi kerajaan – Persekutuan dan Negeri yang telah menghulurkan sumbangan masing-masing untuk kami menganjurkan majlis gilang gemilang di mana anda berada sekarang.

Tanpa sumbangan tulus ikhlas mereka, majlis semeriah ini tidak akan dapat kami laksanakan. Kami hanya boleh menadah tangan, memanjatkan rasa kesyukuran atas kemurahan hati sahabat-sahabat MPI itu, yang tidak putus-putus menghulurkan sumbangan sejak Malam Wartawan Malaysia pertama kali diadakan 36 tahun yang lalu. Doa kami juga semoga Allah SWT merahmati mereka dengan kemurahan rezeki yang berpanjangan. Amin ya rabal alamin.

Bagi HKM 2015, terdapat pengenalan lima kategori baharu yang tidak ada dalam HKM 2014, menjadikan kategori yang ditawarkan kepada 18. Dengan adanya lima kategori yang diperkenalkan buat pertama kali itu, maka  lengkaplah elemen-elemen kewartawanan yang diiktiraf oleh HKM yang meliputi media cetak, media elektronik iatu televisyen dan radio, portal berita, fotografi, infografik, kartun editorial dan juga desain halaman suratkhabar. Dan yang dinilai terbaik dalam kalangan 18 kategori itu pula akan diangkat sebagai pemenang Hadiah Kajai yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM30,000.

Menjadi adat pertandingan, ada yang menang, ada yang kalah. Sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada kalangan yang merangkul kejayaan pada malam ini. Kepada yang kalah, jangan berputus ada.  Cuba lagi tahun hadapan. Percayalah, giliran anda untuk menang akan tiba juga sekiranya anda tidak mudah menyerah kalah.

Saya juga ingin menyatakan terdapat sedikit kelainan pada majlis ini malam ini. Buat pertama kalinya, persembahan hiburan akan dijayakan oleh 12 orang wartawan yang mewakili Kumpulan Utusan, Harian Metro, RTM, TV3 dan Kumpulan Media Karangkraf, selain tarian zapin oleh Kumpulan Penggiat Zapin Negeri Johor atau Pe-Zapin, tajaan PETRONAS. Kita juga turut memberi penghormatan kepada enam orang ketua pegawai eksekutif organisasi media untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Upacara penyampaian hadiah pula akan diselang seli dengan persembahan hiburan.

Sebagai penutup bicara, saya ingin memohon maaf bagi apa juga kekurangan dan kelemahan yang terdapat dalam penganjuran Malam Wartawan Malaysia 2016. Kalau ada yang tidak kena jangan disampan dalam hati. Sesungguhnya yang baik itu datang daripada Allah SWT manakala yang jelik itu ialah daripada kami.

Sebelum saya mengundurkan diri, saya dengan segala hormatnya ingin mempersilakan tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia 2016, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Malaysia naik ke pentas untuk menyampaikan sepatah dua kata kepada hadiri dan hadirat.

Dipersilakan Datuk Seri.