Ahli Farmasi KKM bina keyakinan diri di Bengkel Penampilan Eksklusif MPI
Seramai 23 ahli farmasi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah selesai mengikuti Bengkel Penampilan Eksklusif Untuk Panelis Media di Pusat Latihan MPI di Cyberjaya pada 2-3 September baru-baru ini. Menurut mereka, bengkel ini berjaya memecah tembok kegugupan mereka ketika berhadapan dengan media dan membina keyakinan diri melalui sesi-sesi “hands-on” bengkel.
Berdasarkan kehendak dan keperluan Bahagian Farmasi KKM, Malaysian Press Institute (MPI) mendesain bengkel ini khusus untuk ahli-ahli farmasi, dengan fokus untuk memperbaiki penampilan, penyampaian dan kemahiran komunikasi mereka dalam persekitaran media profesional. Diadakan selama dua hari, bengkel menyediakan pengetahuan praktikal dan sokongan yang diperlukan untuk membina keyakinan diri, tampil berkesan dan berwibawa.
Tutorial dan latihan bengkel dikendalikan sepenuhnya oleh En. Nizal Mohammad, mantan wartawan dan personaliti tersohor TV3.
Berlatarkan set ‘mini studio’ untuk wawancara TV/radio/podcast, tiap peserta diberi peluang berlatih situasi sebenar melalui simulasi temubual dan kemudian dinilai dan diberi maklum balas yang membina daripada En. Nizal. Pelbagai gelagat peserta dan momen menarik dapat dirakam yang menjadikan sesi penilaian dipenuhi gelak tawa namun padat dengan panduan berguna.
Sebelum bersurai, para peserta sempat meninggalkan komen dan respon positif kepada MPI. Mereka amat berpuas hati dengan keberkesanan bengkel ini dan mencadangkan bengkel 2.0 pula pada masa hadapan untuk mengasah kemahiran-kemahiran lain.