Kuala Lumpur, 5 Ogos 2025 – Pagi ini sedang berlangsung Bengkel Train The Trainer on Google AI Tools for New Publishers bertempat di Aloft Hotel KL Sentral, Kuala Lumpur.
Bengkel ini dikendalikan oleh penceramah selaku wakil Google, Puan Aidila Razak, dan menghimpunkan para editor media dan jurulatih latihan daripada pelbagai organisasi media.
Fokus utama bengkel ini adalah untuk memperkenalkan penggunaan alat-alat Google berasaskan kecerdasan buatan (AI) dalam memperkasa amalan kewartawanan moden, khususnya dalam aspek pengesahan maklumat dan pencarian data yang sahih.
Sesi pada pagi ini dimulakan dengan aktiviti ‘ice breaker’ dan perkongsian mengenai peraturan asas bengkel, diikuti dengan pengenalan kepada Google Trends yang membantu peserta mengenal pasti dan memahami trend semasa dalam talian untuk diaplikasikan dalam penghasilan kandungan berita.
Selain itu, peserta turut didedahkan kepada penggunaan alat seperti Google Maps, Google Lens, Reverse Image Search, dan SynthID melalui kajian kes dan latihan praktikal.
Sesi ini memberi fokus kepada teknik pengesahan lokasi, imej serta kandungan digital di mana ia merupakan kemahiran penting dalam usaha membanteras penyebaran maklumat tidak sahih serta meningkatkan kredibiliti laporan kewartawanan.






