BANGSAR, 6 Julai 2026 – Hari pertama Bengkel Ejen AI (AI for Journalists: Enhancing Newsroom Productivity and Editorial Insights) yang dianjurkan oleh Vanakkam Malaysia di bawah Dana Inovasi Media dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI) sebagai penyedia latihan telah berlangsung di Bilik Latihan Vanakkam Malaysia, Bangsar Kuala Lumpur. Bengkel yang diadakan selama dua hari dibahagi kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A & B yang dihadiri oleh 4 orang staf dari Kumpulan A pada sesi pagi manakala 6 orang staf lagi daripada Kumpulan B hadir pada sesi petang. Kursus ini dikendalikan oleh penceramah, Encik Cletus de Rozario.
Beliau memulakan sesi dengan memberikan pengenalan kepada Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI) termasuk peranan dan aplikasinya dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan. AI diperkenalkan sebagai teknologi yang mampu menyokong pengurusan kandungan dan operasi bilik berita secara lebih cekap, sistematik dan mampan, sejajar dengan perkembangan lanskap media digital.
Melalui pendedahan ini, para peserta berpeluang meningkatkan produktiviti dalam proses penghasilan kandungan tanpa mengabaikan prinsip etika dan integriti kewartawanan. Di samping itu, penggunaan AI dapat membantu mengoptimumkan ketepatan analisis dan pengurusan maklumat, sekali gus menyokong penghasilan laporan yang lebih tepat, pantas dan berinformasi untuk memenuhi keperluan audiens masa kini.
Sesi akan bersambung esok dengan lebih mendalam berkenaan Agentic AI untuk Kumpulan A & B.











