Kursus
Kewartawanan Media Baharu: Cetus Inspirasi Buat Wartawan Sarawak

Kewartawanan Media Baharu: Cetus Inspirasi Buat Wartawan Sarawak

Mendepani pelaporan di era teknologi memerlukan kemahiran yang tinggi dalam kalangan pengamal media.

Justeru, Malaysian Press Institute (MPI) dan Kerajaan Sarawak mengadakan Kursus “Journalism in a New Media World” bagi memantapkan kefahaman cabaran dan solusi dalam dunia kewartawanan era digital.

Kursus ini berlangsung pada 9 hingga 10 Oktober 2024, melibatkan 47 peserta dari pelbagai organisasi media di Sarawak. Inisiatif ini, yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak, bertujuan untuk memperkukuh kemahiran kewartawanan di kalangan pengamal media.

Kursus ini dikendalikan oleh Encik Sharanjit Singh, Editor Eksekutif New Straits Times (NST), dengan penampilan khas Cik Farrah Naz Karim, Editor Kumpulan NST.

Sepanjang dua hari, peserta diberikan pendedahan mendalam mengenai asas kewartawanan, teknik penulisan laporan berita, adaptasi digital dalam pelaporan, dan strategi menulis laporan penyiasatan yang berkesan. Kandungan kursus dirancang untuk memfokuskan pada kemahiran praktikal yang relevan dengan perubahan pesat dalam dunia media.

Farrah, pemenang Anugerah Kajai dua tahun berturut-turut, berkongsi pengalaman berharga mengenai penceritaan dan penghasilan laporan berita berimpak tinggi.Anugerah Kajai adalah anugerah tertinggi dalam Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS, yang mengiktiraf karya-karya kewartawanan terbaik bagi tahun dipertandingkan.

Gandingan kedua penceramah ini memberikan perspektif baru yang dihargai, khususnya dalam menghadapi cabaran wartawan di era digital, dan mengundang inspirasi dan pujian dari peserta.

Sesi perbincangan dan soal jawab berlangsung dalam suasana interaktif, membolehkan peserta merasa selesa untuk bertanya dan berbincang secara terbuka. Ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman mereka terhadap topik yang dibincangkan. Secara keseluruhan, kursus ini telah memberi impak yang positif, dan peserta berpuas hati dengan kualiti serta kandungan yang disampaikan.

Rakaman gambar-gambar:

Encik Sharanjit Singh mengendalikan kursus bersama penampilan khas Puan Farrah Naz Karim yang berkongsi pengalaman dalam bidang kewartawanan.
Para peserta kursus tekun mendengar penyampaian dari penceramah.
Gambar atas dan bawah: Sesi perbincangan kumpulan.
Para peserta dan penceramah bergrup foto selepas kursus tamat.