Cyberjaya | 9 Julai 2025 – Sesi Bengkel Open-Source Intelligence (OSINT) diteruskan pada hari ini bersama Penganalisis Media, Encik Munir Anaam Zuljadan, yang berkongsi ilmu dan kepakaran beliau dalam bidang analisis media dan data terbuka.
Pada sesi pagi, para peserta didedahkan kepada penggunaan Global Forest Watch bagi tujuan analisis ramalan kehilangan litupan pokok (Tree Cover Loss). Latihan ini memberi pemahaman kepada peserta tentang bagaimana data alam sekitar boleh dimanfaatkan dalam konteks risikan sumber terbuka, khususnya dalam laporan berkaitan isu perubahan iklim dan alam sekitar.
Sementara itu, sesi petang memberi fokus kepada latihan amali menggunakan perisian SunCalc dan GIMP. Peserta diajar cara menganalisis sentimen serta menentukan waktu sebenar sesuatu rakaman gambar atau video berdasarkan bayang dan kedudukan matahari. Kaedah ini penting dalam dunia kewartawanan untuk mengesahkan kesahihan bahan visual, terutamanya dalam laporan yang melibatkan penyiasatan dan fakta kejadian.
Secara keseluruhan, bengkel ini memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai bagaimana alatan OSINT dapat digunakan secara praktikal dalam tugasan media, sekaligus meningkatkan ketepatan dan kebolehpercayaan laporan yang dihasilkan.






