
Manfaatkan kuasa digitalisasi untuk komunikasi yang berkesan
Kursus selama dua hari bertajuk “Unlocking the Power of Digitalization for Effective Communication” yang diadakan pada 23 dan 24 April 2024 di Pusat Latihan MPI, Cyberjaya telah terbukti menjadi pengalaman yang mendalam dalam bidang komunikasi digital. Kursus dikendalikan oleh pakar komunikasi digital dan penganalisis media, Encik Munir An’aam Zuljadan dan telah menarik perhatian sembilan (9) orang peserta yang mewakili organisasi ternama seperti PROLINTAS, PLUS dan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN).
Hari pertama memperlihatkan sesi pembentangan oleh penceramah berkenaan penggunaan aplikasi dan alat generatif Artificial Intelligence (AI) dalam meningkatkan dinamika komunikasi di tempat kerja. Peserta bersemangat membincangkan penyelesaian dan potensi transformatif yang digerakkan oleh AI dalam menyusun semula proses komunikasi organisasi masing-masing. Selain itu, sesi interaktif bersama penceramah memberikan platform kepada peserta untuk mendapatkan pemahaman praktikal tentang pemanfaatan teknologi AI untuk strategi komunikasi yang berkesan.
Momentum pembelajaran dipertingkatkan di hari kedua, di mana tumpuan dialihkan kepada aplikasi praktikal dan pembentangan secara berkumpulan. Sesi praktikal dijalankan dengan penuh intensif, membolehkan para peserta terlibat secara langsung dalam penggunaan alat-alat generatif AI. Melalui latihan dan simulasi dalam penggunaan tools seperti Brand24 dan InVid, peserta memperoleh kemahiran dalam memanfaatkan digitalisasi untuk meningkatkan keberkesanan komunikasi dalam domain profesional masing-masing.
Secara keseluruhan, kursus ini dilihat memberi impak yang tinggi dan berperanan sebagai pemangkin untuk membuka peluang baru dalam komunikasi digital, menyediakan peserta dengan kemahiran dan pengetahuan yang berharga untuk menavigasi landskap tempat kerja moden yang sentiasa berubah-ubah. Pengalaman dan kemahiran penceramah serta penglibatan aktif para peserta juga telah mencipta persekitaran pembelajaran yang kondusif dan memberi impak positif kepada tugasan peserta apabila kembali ke tempat kerja masing-masing.
RAKAMAN GAMBAR-GAMBAR

