KOTA KINABALU, 3 Februari — Seramai 23 peserta menyertai Bengkel Kajai dalam Era AI, sebuah program intensif dua hari bersama rakan media yang berlangsung hari ini di Sabah.
Bengkel yang bermula pada pagi ini menampilkan penceramah Cik Farrah Naz Karim, Timbalan Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima dan Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Timbalan Presiden Malaysian Press Institute (MPI) yang juga merupakan pemenang Anugerah Kajai Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2014 & 2015.
Program ini dianjurkan dengan matlamat memperkasakan penerbitan berita bertaraf tinggi, khususnya yang layak dipertandingkan dalam Anugerah Kajai, kategori tertinggi dalam HKM MPI-PETRONAS. Anugerah ini diiktiraf sebagai penanda aras kecemerlangan dalam laporan dan liputan isu-isu di seluruh negara.
Bengkel yang turut menerima sambutan dari pengamal media tempatan itu memberi fokus kepada strategi dan kaedah penulisan serta penyampaian ke arah peroleh Anugerah Kajai, selain penggunaan AI dalam amalan kewartawanan. Antaranya termasuklah teknik penulisan beretika, serta cara mengangkat naratif tempatan ke platform nasional dan antarabangsa.



