CYBERJAYA, 4 Ogos 2026 – Malaysian Press Institute (MPI) hari ini menganjurkan Kursus Penghasilan Kandungan Digital Berimpak Untuk TV Alhijrah (Siri 1.0) di bawah Dana Inovasi Media, yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 4 dan 5 Ogos 2026 di Alhijrah Media Nexus, Cyberjaya.
Kursus ini menampilkan Tuan Zaki Haji Abdul Rahim, Mantan Produser TV3, sebagai penceramah yang berkongsi pengalaman serta kepakaran dalam penghasilan kandungan digital yang kreatif, berimpak dan memenuhi kehendak industri penyiaran masa kini.
Sesi pengenalan pada pagi ini dimulakan dengan aktiviti suai kenal dan sesi interaktif bersama para wartawan daripada TV Alhijrah, diikuti perkongsian mengenai landskap media digital semasa, cabaran industri penyiaran, serta kepentingan menghasilkan kandungan yang berkualiti dan relevan terhadap kehendak audiens.
Pembelajaran yang santai dan interaktif ini turut membuka ruang kepada peserta untuk bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman dalam bidang kewartawanan dan penerbitan kandungan digital.







