3 Disember 2024, Kuching – Hari kedua Kursus ‘SPOKESPERSON TRAINING’ iaitu bagi sesi 5 dan 6 menyentuh mengenai Studio Interview Simulation dan ‘Doorstop’ Interview Simulation. Dua sesi praktikal ini dirancang untuk memperkukuh kebolehan peserta dalam mengendalikan situasi komunikasi di hadapan kamera.
Sepanjang sesi berlangsung, peserta berpeluang melalui latihan wawancara studio dan ‘doorstop’ secara realistik, di mana mereka perlu menjawab soalan-soalan yang pelbagai dan kritikal. Situasi ini mencerminkan cabaran sebenar yang sering dihadapi oleh jurucakap profesional, sama ada untuk organisasi atau individu tertentu. Tujuannya adalah untuk membina keyakinan diri, meningkatkan keupayaan mengawal emosi, serta mengekalkan profesionalisme ketika menghadapi tekanan media.
Encik Nizal Mohammad, selaku penceramah berpengalaman, memainkan peranan penting dengan memberikan panduan serta maklum balas yang terperinci kepada setiap peserta. Beliau membantu mereka mengenal pasti kekuatan komunikasi serta aspek yang perlu diperbaiki, termasuk teknik penyampaian mesej, kawalan bahasa badan, dan strategi mengurus soalan mencabar.
Ini bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran komunikasi peserta malah melatih untuk menjadi jurucakap yang lebih profesinal, cekap, berstrategi, dan berwibawa, sejajar dengan keperluan komunikasi moden.





