2 Disember 2024, Sarawak – Persiapan awal untuk program yang berlangsung di Hotel Raia, Kuching pada 2 dan 3 Disember 2024 ini telah dikendalikan dengan jayanya pada hari semalam (1 Disember 2024). Pasukan komunikasi korporat SEB turut terlibat secara aktif dalam memastikan kelengkapan bilik latihan, memberikan kerjasama penuh bagi memastikan sesi berjalan dengan lancar.
Kursus bertemakan ‘Spokeperson Training’ anjuran Malaysian Press Institute (MPI) dengan kerjasama Sarawak Energy Berhad (SEB) ini memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan keupayaan pengurusan tertinggi (C-Suite) dalam menyampaikan mesej penting secara jelas, strategik, dan berkesan. Kursus ini direka khas mengikut keperluan SEB, dengan matlamat membantu peserta tampil lebih yakin dan profesional ketika berinteraksi bersama media, termasuk semasa sidang akhbar, wawancara studio televisyen, serta situasi wawancara spontan.
Latihan ini dikendalikan oleh Encik Nizal Mohammad, seorang mantan wartawan dan penerbit penyiaran tersohor TV3 yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang penyiaran dan komunikasi. Dengan kepakaran beliau, peserta program dijangka mendapat pendedahan yang berguna dan praktikal dalam menangani pelbagai cabaran komunikasi di peringkat tertinggi sekali gus memperkukuh imej organisasi dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan berimpak kepada khalayak.


