George Town, 30 Jun – Lebih 50 pegawai perhubungan awam dari universiti dan agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyertai Bengkel Pemantapan Komunikasi yang berlangsung selama tiga hari di Universiti Sains Malaysia (USM), bermula hari ini hingga 1 Julai.
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Dr. Norazli Md Daud dalam ucapan aluannya menggesa peserta memanfaatkan bengkel ini untuk menimba sebanyak mungkin ilmu pengurusan media, khususnya dalam menangani isu tular seperti kemasukan UPU dan pinjaman PTPTN.
Sesi pertama bertajuk “Utilisasi Media dalam Pengurusan Persepsi Semasa Krisis” disampaikan oleh mantan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan BH, Datuk Badrul Hisham Othman. Beliau menekankan pentingnya menjalin hubungan profesional dengan editor bagi memastikan kenyataan media diberi perhatian wajar. Sesi turut dimanfaatkan dengan pembentangan kajian kes dalam dan luar negara sebagai panduan praktikal.
Sesi seterusnya dikendalikan Editor Kanan Astro AWANI, Tuan Haji Nazri Kahar menerusi tajuk “Pengurusan Media Strategik dan Penyampaian Naratif IPT”. Beliau menekankan keperluan menetapkan objektif media yang jelas dan memilih saluran komunikasi yang sesuai mengikut audiens dan matlamat – sama ada membina jenama, mengurus persepsi atau menangani krisis.
Bengkel anjuran KPT ini akan bersambung esok dengan sesi bertajuk “Perhubungan Awam Strategik di Era Krisis dan AI” yang akan disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Suhaimee Saahar dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM.




