Pendedahan berkenaan keganasan dan cara liputan berita pengganas dapat dipelajari
Kursus kedua “Workshop on Role of Media in Covering Violent Extremism (CVE) & Radicalization Leading to Terrorism” anjuran Malaysian Press Institute (MPI) dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur dan Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) telah berlangsung dengan jayanya pada 30 September – 2 Oktober 2018 di Hotel Perdana Kota Bharu Kelantan.
Kursus yang dihadiri seramai 26 pengamal media dari pantai timur, utara Semenanjung dan juga Kuala Lumpur ini diwakili oleh TV Alhijrah, Makkal Osai, Sinar Harian, Kosmo, RTM, TV3, Utusan Malaysia, BERNAMA dan NSTP.
Dengan barisan penceramah yang sangat berpengalaman dan berpengetahuan, maka kursus selama 2 hari setengah ini telah banyak memberi kefahaman mengenai isu-isu pengganas dari sudut yang lebih mendalam kepada para peserta. Para peserta dapat menyingkap isu keganasan di sebalik tabir yang media kurang jelas sebelum ini dan bagaimana media perlu melaporkan isu berkenaan. Selain itu, peserta juga dapat penerangan tentang undang-undang dan contoh kes yang amat berkesan dan berguna.
Pendedahan di lapangan bersama Unit Pemusnah Bom dari Bukit Aman, KL juga telah memberi pengalaman baharu kepada peserta berkaitan cara mengendalikan ancaman bom. Satu pertunjukan letupan bom juga telah dikongsi bersama para peserta.
Secara keseluruhannya, matlamat kursus sampai kepada peserta dengan topik dan kandungan yang diketengahkan dan peserta berharap agar kursus ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dengan mencadangkan agar perkongsian pengalaman bersama wartawan yang pernah membuat liputan berkenaan isu-isu pengganas ini dapat dikongsi bersama para peserta. Selain itu, ianya telah memberi penambahan pengetahuan luas kepada pihak media terutama wartawan di mana topik yang diberikan ini sesuai dengan tema keganasan dunia seperti Militan, IS dan sebagainya yang boleh membawa impak kepada dunia.
Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Her Excellency Kamala Shirin Lakhdhir telah menyempurnakan Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Penyertaan kepada para peserta kursus di Kota Bharu Kelantan. Sebelum itu, kursus yang sama juga telah diadakan di Melaka dan Majlis Penutupan telah disempurnakan oleh Mr. Morgan J.O’Brien III, Press Attache’, U.S Embassy, Kuala Lumpur.
Berikut merupakan rangkuman gambar-gambar sepanjang kursus berlangsung: