Peserta Terengganu Seronok Mempelajari Ilmu Baharu
Dalam dunia yang serba canggih dan berteknologi tinggi ini, para pengamal media dan pegawai penerangan di Negeri Terengganu serta pegawai-pegawai dari pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu tidak ketinggalan untuk menajamkan lagi ilmu berkaitan digital & multimedia mereka. Telah berlangsung dengan jayanya di Primula Beach Hotel Kuala Terengganu pada 22 – 24 Disember 2020 satu kursus Kewartawanan Digital & Multimedia atau lebih mesra dipanggil Mobile Journalism (MoJo) dihadiri seramai 24 orang peserta.
Kursus anjuran Malaysian Press Institute (MPI) selama tiga hari ini merupakan kursus tahunan yang sentiasa mendapat permintaan ramai sehingga ke hari ini dan sentiasa di dalam senarai kalendar kursus MPI setiap tahun. Pertama kali diperkenalkan dalam silibus program Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia dan setelah program tersebut tidak lagi disambung buat sementara namun kursus ini masih relevan sehingga sekarang.
Antara objektif utama penganjuran kursus adalah untuk memberi pengetahuan mendalam dan profesional kepada para peserta dalam menggunakan telefon pintar sebagai peranti merakam visual. Kursus yang dikendalikan oleh Mohammed Hazli Hassan atau lebih dikenali sebagai Bobo dalam kalangan mereka yang di dalam industri kewartawanan dengan pengalaman selama 28 tahun dalam bidang tersebut telah berkongsi pengalaman beliau dengan hanya menggunakan telefon pintar menggunakan konsep MoJo tanpa ada sebarang penggunaan komputer peribadi mahupun komputer riba semasa melakukan tugasan yang diberikan.
Sepanjang tiga hari berkursus, peserta telah didedahkan dengan pelbagai latihan perseorangan dan berkumpulan. Antara latihan secara solo oleh para peserta adalah membuat video pilihan Piece to Camera (PTC) menggunakan telefon bimbit masing-masing. Peserta diminta untuk menceritakan apa yang menarik di Terengganu selama 1 minit. Pelbagai reaksi menarik oleh para peserta dapat dikongsikan bersama setelah aktiviti tersebut selesai.
Selain itu para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan diberi tajuk Pelancongan dimusim COVID-19 menuju tahun 2021. Peserta boleh menghasilkan sama ada laporan/berita, penerangan atau rencana dalam bentuk video menggunakan konsep MoJo. Walaupun peserta yang rata-rata mempunyai zero knowledge dalam bidang tersebut namun hasil yang dikongsikan tidak mengecewakan. Penceramah berpuas hati dengan video yang dihasilkan oleh setiap kumpulan.