
‘SELF-GROOMING’ BANTU KETERAMPILAN NAMPAK LEBIH MEMUKAU DI KACA TV
Disediakan oleh : Shahirah Shukor
Sebagai timbal balas terhadap penajaan bernilai RM 10,000 ke atas sempena penganjuran Malam Wartawan Malaysia 2022 yang lalu, 10 orang peserta mewakili organisasi masing-masing hadir menyertai kursus Talk To Impress on Televisyen anjuran MPI.
Berkampung di Pusat Latihan MPI, Cyberjaya pada 27 – 28 Julai 2022 lalu, para peserta telah dibimbing oleh Yusanani Yushak dengan menggunakan kemudahan lengkap peralatan Multi Camera Production atau MCP milik MPI.
Bilik latihan diubah kepada mini studio bagi tujuan latihan praktikal dengan penggunaan peralatan SCP-Single Camera Production dan MCP-Multiple Camera Production. Kesemua peserta diberi peluang mengalami latihan praktikal setelah mengikuti teori yang disampaikan oleh penceramah.
Ketika sesi ‘playback’ disiarkan untuk tatapan peserta, terdapat beberapa elemen yang ditekankan oleh penceramah dan perlu diperbaiki antaranya bentuk/ kedudukan postur badan ketika menemubual atau ditemubual, ekspresi wajah serta kebolehan seseorang bertutur kata dalam dwibahasa sebagai jurucakap.
Para peserta juga diminta membuat kajian terlebih dahulu dan peka terhadap pemilihan serta kesesuaian pakaian termasuk dari segi pemilihan warna supaya lebih menyerlah ketika muncul di layar kaca television. Ini penting kerana ianya mewakili imej syarikat yang dibawa bersama.
Di akhir komen, para peserta mengakui kursus menarik dan berjaya disampaikan oleh penceramah dengan cemerlang tetapi meminta kursus dipanjangkan kepada tiga hari dengan memperbanyakkan lagi latihan praktikal.









Dari kiri : Muhammad (TNB), Razliza (UEM Edgenta), Intan (Putrajaya Holdings), Sharizan (Indah Water), Yusanani Yushak, Rohemy (BSN), Zakaria (Tourism Malaysia), Norida (TNB), Arissa (Putrajaya Holdings), Amalina (Sime Darby Plantation) dan Sarah (SME Bank).