Cyberjaya, 21 Julai 2025 – Kursus Pengurusan Video & Audio Podcast bersama penceramah jemputan, Encik Khaleeq Syahzada Manja, diteruskan dengan Slot 2 yang memfokuskan kepada Asas Penghasilan Podcast: Pra-Produksi, Rakaman dan Pasca-Produksi.
Sesi ini memberi pendedahan menyeluruh mengenai proses penghasilan podcast yang merangkumi perancangan kandungan, pemilihan peralatan yang sesuai seperti mikrofon, kamera dan headphone, teknik rakaman yang berkesan, serta penyuntingan audio dan video menggunakan perisian profesional. Penekanan turut diberikan kepada kepentingan skrip atau ‘Running Order’ (RO), susun atur kandungan dan persediaan teknikal sebelum rakaman dijalankan.
Pada sebelah petang, sesi diteruskan dengan Slot 3 bertajuk Pengedaran & Pemasaran Podcast Anda. Penceramah berkongsi strategi pengedaran melalui pelbagai platform seperti Spotify dan YouTube, serta kaedah pemasaran digital yang berkesan menerusi media sosial.
Kedua-dua slot diakhiri dengan sesi soal jawab interaktif antara peserta dan penceramah, yang memberi ruang kepada peserta untuk mendapatkan penjelasan lanjut serta berkongsi pengalaman dan cabaran masing-masing dalam bidang penghasilan kandungan podcast.






