Wartawan Sarawak Mantapkan Kemahiran Analisis Sentimen
Program latihan dalam analisis sentimen bukan sahaja membantu meningkatkan kemahiran teknikal wartawan tetapi memperkaya cara mereka berfikir dan berinteraksi dengan pembaca. Dengan alat dan pengetahuan yang diperoleh melalui latihan ini, wartawan dapat menghasilkan laporan yang lebih mendalam, bermakna, relevan berasaskan data yang dapat memenuhi keperluan audiens yang sentiasa berubah. Ia adalah kemahiran yang semakin penting untuk wartawan dalam usaha memantapkan interpretasi laporan dan mempertingkat kualiti penulisan mereka.
Bagi tujuan tersebut, 47 peserta dari pelbagai rumah media dan agensi Kerajaan hadir mengikuti Kursus Kewartawanan Data 2.0: Analisis Sentimen yang telah diadakan dari 22 hingga 24 Oktober 2024 di Raia Hotel & Convention Centre, Kuching.
Program yang menumpukan sepenuhnya kepada latihan praktikal, tugasan individu dan berkumpulan membuka mata peserta mendalami lebih berkesan terhadap proses pengumpulan serta analisis data yang lebih berstruktur dan tepat.
Dengan menggunakan analisis sentimen dalam konteks kewartawanan data, peserta dapat memberikan perspektif yang lebih mantap tentang bagaimana masyarakat berinteraksi dengan isu-isu yang dilaporkan, membuat keputusan penyampaian berita tentang topik atau isu-isu mendesak untuk dibentangkan kepada pembaca.
Peserta juga dibentuk untuk menjadi lebih kritis dengan penemuan bukti data yang lebih kuat melalui pencarian dan analisa data daripada pelbagai sumber dalam penyelidikan berita untuk menyokong laporan yang disediakan.
Kursus ini dikendalikan oleh Encik Munir Anaam Zuljadan, penganalisis media berpengalaman dalam bidang analisis data, khususnya dalam konteks kewartawanan moden.
Ia adalah kursus ketiga tajaan Kerajaan Sarawak ini, yang dianjurkan dengan kerjasama Kuching Division Journalists Association (KDJA), Northern Sarawak Journalists Association (NSJA) dan Sibu Journalists Association (SJA).
Rakaman gambar-gambar: