Idn Media / Idn Times Kukuhkan Kedudukan Sebagai Peneraju Media Digital Indonesia

10 Disember 2024, Jakarta – Wartawan masa kini perlu menguasai pelbagai platform media sosial, khususnya TikTok, sebagai alat komunikasi dan penyampaian maklumat yang pantas serta efektif. Ketua Pengarang IDN Times, Uni Lubis, menegaskan bahawa pengamal media, termasuk institusi latihan, wajar memberi tumpuan kepada kemahiran ini.

“TikTok adalah platform yang sangat relevan, terutama dalam menangani isu berita palsu dan maklumat mengelirukan, terutamanya semasa proses pilihan raya. Platform ini menawarkan cara yang mudah dan pantas untuk menyampaikan penjelasan serta fakta,” katanya. Uni turut berkongsi pengalaman penggunaan TikTok dalam kempen pilihan raya di Indonesia, yang terbukti menjadi alat komunikasi yang berkesan.

Dalam perkembangan yang sama, IDN Media terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju media digital di Indonesia. Beroperasi sejak 10 tahun lalu, organisasi ini bukan sahaja dikenali sebagai rujukan utama dalam penyampaian berita, malah telah beralih kepada teknologi baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI) dalam pelaporan pemberitaan.

Dalam sesi taklimat penuh, Uni Lubis menekankan bahawa IDN Media / IDN Times bukan sekadar portal berita, tetapi sebuah One Stop Platform Content yang memenuhi pelbagai keperluan pengguna. Antara platform utamanya ialah IDN Times, yang memfokuskan kepada berita dan hiburan; Popbela.com, laman gaya hidup untuk wanita muda; Popmama.com, panduan keibubapaan untuk ibu muda; serta GGWP.id, platform e-sukan untuk peminat permainan digital.

Uni Lubis, seorang wartawan kanan yang telah menerajui pelbagai organisasi media di Jakarta, turut berkongsi aspirasinya untuk memperkasa wartawan wanita. Menurutnya, wartawan wanita tidak seharusnya hanya melapor berita, tetapi perlu memperjuangkan isu-isu berdasarkan ilmu yang mereka miliki. Beliau, yang mengagumi figura legenda kewartawanan Indonesia, Rohana Kudus, berharap lebih ramai wartawan wanita mampu mengikut jejak idolanya.

Selain memikul tugas sebagai Ketua Pengarang di IDN Times, Uni aktif menulis di laman peribadinya, unilubis.com, yang memuatkan pandangan dalam bidang politik, media, ekonomi, dan perniagaan.

Sehingga Julai 2022, IDN Media telah mencatatkan lebih 80 juta pengguna aktif bulanan. Dengan kehadiran di 12 wilayah, termasuk Jawa Timur, Bali, Sulawesi Selatan, dan Sumatra Utara, organisasi ini kini mengendalikan tiga studio utama dengan 117 kakitangan di IDN Times sahaja.

Lawatan ke IDN Media baru-baru ini merupakan sebahagian daripada Misi IFJ Malaysia-Indonesia: Media Mission – Strengthening Solidarity on Media Viability, Regulation, and Rights in South East Asia, yang berlangsung di Jakarta dari 8 hingga 13 Disember 2024.

Selain fokus kepada teknologi dan kandungan digital, IDN Media turut menitikberatkan kebajikan kakitangannya dengan menyediakan kemudahan seperti makan tengah hari, ruang tidur, dan pelbagai faedah lain. Pendekatan ini mencerminkan komitmen IDN Media untuk menjadi organisasi media digital yang inovatif, bertanggungjawab, dan progresif. _ Ainol, IDN Times, Jakarta.

Penceramah, Steven Lesmana sedang menjelaskan penstrukturan pelbagai platform yang terkandung di dalam IDN Media.
Skrin paparan berita dan pemandangan bandaraya Jakarta menghiasi suasana di sekeliling pejabat IDN Media.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Create a new perspective on life

Your Ads Here (365 x 270 area)
Latest News
Categories

Subscribe our newsletter