KUNJUNGAN HORMAT MPI KE TV SARAWAK (TVS)
7 Januari 2025 – Malaysian Press Institute (MPI) dan TV Sarawak (TVS) mencapai persetujuan untuk mengadakan latihan peningkatan kemahiran bakat untuk staf stesen televisyen berkenaan, tahun ini.
Ini termasuklah latihan berkaitan kemahiran tinggi data journalism, kecerdasan buatan (AI), penulisan analitikal serta hos tv yang boleh mengulas isu.
Perbincangan dua hala itu dicapai dalam aspek lisan dan akan disusuli dengan kertas cadangan dan pelan latihan bagi satu tempoh yang dipersetujui bersama. Latihan terfokus ini akan diadakan di stesen televisyen itu seawal akhir bulan Februari.
Perkara itu adalah sebahagian daripada perkara yang dibincangkan semasa Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong bersama Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Haji Ainol Amriz Ismail dan Pengurus Besar MPI, Puan Norlida Jamain berada di TV Sarawak (TVS), Kuching, Sarawak pada 7 Januari 2025.
Kehadiran pengurusan MPI itu disambut baik Pengerusi Sarawak Media Group (SMG), Dato’ Norhyati Ismail dan Ketua Pegawai Media SMG, Encik Mohamad Sardon Zainal. Turut hadir bersama-sama menyertai pertemuan tersebut adalah Eksekutif Kanan Perhubungan Awam dan Promosi, Encik Sharif Surur Raihan; Editor Kanan, Encik Syah Hairizal serta barisan editorial yang lain.
Tujuan lain pertemuan adalah untuk memperkukuh sinergi antara MPI dan TVS disamping pertukaran kepakaran dalam penganjuran program-program latihan kewartawanan.
Menurut Dato’ Norhyati, ini bagi memenuhi keperluan dalaman untuk membangun dan memperhebatkan modal insan warga TVS selaras dengan visi untuk melihat warga TVS yang lebih analitikal dalam menyampaikan maklumat.