Ucapan Presiden Sempena Majlis Peluncuran ‘Artificial Intelligence: Empowering Journalist On Content And Newsroom Management Pada 17 Disember 2024

SALUTASI

  1. Yang Berhormat Puan Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi
  • Yang Berbahagia Datuk Zulkarnain Mohd Yasin, Timbalan Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
  • Yang Berusaha, Tuan Haji Ainol Amriz Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI)
  • Datuk-Datuk, Datin-Datin
  • Tuan Puan, wartawan dan pengamal media yang dihormati.

Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani,

Malam ini, kita berhimpun untuk menyaksikan pelancaran Program Latihan Kecerdasan Buatan (AI) yang akan merangkumi enam lokasi di seluruh negara. Program ini adalah hasil kolaborasi strategik antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Malaysian Press Institute (MPI), dan akan berlangsung sepanjang tahun ini dan tahun hadapan.

    Dunia kewartawanan dan media kini berada di persimpangan transformasi besar-besaran, dengan teknologi seperti AI memainkan peranan utama dalam bagaimana maklumat dihasilkan, disampaikan, dan diterima oleh masyarakat. Program ini dirangka khusus untuk memastikan para wartawan kita bukan sahaja celik teknologi tetapi juga mampu memanfaatkan AI dalam menghasilkan kandungan yang lebih tepat, pantas, dan relevan.

    Hadirin sekalian, dalam era digital yang pesat ini, kemahiran khusus seperti kecerdasan buatan (AI) menjadi lebih penting berbanding sebelum ini. AI kini digunakan dalam pelbagai aspek kewartawanan, termasuk analisis data besar (big data analytics), automasi penulisan berita, pengesahan fakta secara real-time, dan juga pemantauan sentimen di media sosial. Wartawan hari ini perlu memahami bagaimana teknologi ini berfungsi dan bagaimana ia boleh digunakan secara strategik untuk memperbaiki kualiti pelaporan.

        Latihan yang dilaksanakan melalui program ini adalah investasi dalam masa depan kewartawanan. Dengan AI, wartawan boleh:

        • Menganalisis data dengan lebih pantas untuk menghasilkan laporan yang berasaskan fakta.
        • Meningkatkan kreativiti dan produktiviti, dengan membolehkan teknologi mengambil alih tugas-tugas rutin.
        • Menjamin kredibiliti melalui alat pengesahan fakta automatik yang dapat mengekang penyebaran berita palsu.
        • Beradaptasi dengan perubahan landskap media, di mana AI kini menjadi alat penting dalam mempercepatkan proses penyediaan berita.

        Latihan ini juga bertujuan untuk menghapuskan jurang digital yang wujud dalam kalangan pengamal media, terutamanya mereka yang baru berjinak-jinak dengan teknologi moden. Kita tidak mahu mana-mana pihak ketinggalan dalam era transformasi ini, kerana wartawan adalah nadi kepada demokrasi dan suara rakyat.

        Hadirin sekalian,

        Dalam melaksanakan inisiatif ini, saya ingin merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada dua individu penting yang telah menjadi pendorong kepada kejayaan program ini.

        Pertama, setinggi-tinggi terima kasih kepada YB Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi Malaysia, atas visi dan komitmen beliau terhadap pembangunan komuniti media. Dalam pertemuan pertama kami pada bulan Mac tahun ini, YB Fahmi menekankan kepentingan memperbanyakkan program latihan yang memberi manfaat kepada wartawan, dan saranan beliau menjadi pemangkin kepada pelaksanaan program ini.

        Saya juga ingin menyatakan bahawa MPI telah melaksanakan saranan ini dengan penuh komitmen. Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, jumlah program latihan yang kami laksanakan melebihi keseluruhan program sepanjang tahun 2023 dan separuh pertama tahun 2024. Ini mencerminkan semangat baharu MPI selepas menjalani proses penstrukturan semula.

        Kedua, ucapan terima kasih yang mendalam kepada Tan Sri Salim Fateh Din, yang sentiasa bersedia untuk membantu. Beliau bukan sahaja menyokong program ini, malah memberikan kepercayaan penuh kepada MPI untuk melaksanakannya selari dengan objektif MCMC. Tan Sri Salim ialah seorang pemimpin yang berpegang kepada janji, dan kami sangat menghargai kemurahan hati serta kesediaannya memberi sokongan kepada inisiatif yang bermakna ini. He is a man of his word and we thank him for big heartedness and readiness to help!

        Hadirin sekalian,

        Malam ini menjadi saksi kepada permulaan Program Latihan AI yang telah melalui pelbagai proses rundingan dan perancangan. Namun, kita tahu bahawa ini hanyalah langkah pertama dalam perjalanan panjang. Program seperti ini perlu dilanjutkan dan diperluaskan agar wartawan Malaysia kekal relevan di pentas global.

          Kami juga berharap agar MCMC akan terus menjadi rakan strategik yang setia kepada MPI, terutamanya jika terdapat keperluan untuk sokongan tambahan menjelang tahun 2025 dan seterusnya.

          Penutup

          Akhir sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ketua-ketua pengarang yang hadir pada malam ini. Terima kasih kerana memberi keizinan kepada para petugas media untuk menyertai kursus ini, demi melengkapkan diri mereka dengan kemahiran baharu yang amat kritikal dalam era digital ini.

            Saya akhiri ucapan saya dengan sebuah pantun:

            Pagi tadi pergi berkelah

            Tengah hari memberi-belah

            Orang berbudi kita mengolah

            Orang memberi jangan berolah

            Sekian, terima kasih.

            Share this post :

            Facebook
            Twitter
            LinkedIn
            Pinterest

            Create a new perspective on life

            Your Ads Here (365 x 270 area)
            Latest News
            Categories

            Subscribe our newsletter