Publication
Sejarah: Dari Pengatur Huruf kepada `Bapa Wartawan Melayu’ Abdul Rahim Kajai

Sejarah: Dari Pengatur Huruf kepada `Bapa Wartawan Melayu’ Abdul Rahim Kajai

Teks ini ditulis oleh Haji A. Samad Ismail, Penasihat Jabatan Pengarang Kumpulan Akhbar New Straits Times yang diterbitkan dalam Buku Cenderamata, Malam Wartawan Malaysia, anjuran Institut Akhbar Malaysia (IAM), 12 Disember 1983 di halaman 28-37. Teks ini diterbitkan semula dalam web www.mpi.my untuk mengenang jasa tokoh kewartawanan serta menjadi rujukan dan panduan kepada generasi muda yang ingin mengetahui sejarah kewartawanan Melayu di negara ini.

“…with regards to public service for the Malay community, I have none worthy of mention except through the column of the newspaper I edit. But it can be claimed that my pen throughout was for the Malay people in the light of conditions prevalent.” – Abdul Rahim Kajai (1943).

Muka hadapan Buku Cenderamata, Malam Wartawan Malaysia 1983

Abdul Rahim Kajai terkenal sebagai Kajai sahaja. Kajai dikenali oleh pembaca-pembaca akhbar dalam tahun 1930an – 1940an. Dr. Ishak Haji Muhammad meletakkan Kajai sebagai seorang wartawan Melayu yang jati serta yang kanan sekali di Tanah Melayu dalam hamannya. Menurut Dr. Ishak dalam tulisannya bersiri (5, 12, 19, dan 26 Oktober, 1940) dalam Utusan Zaman antara lain “Kajai sentiasa menunjuk ajar, menegur dan memberi saya berbagai petua berkenaan dengan pekerjaan wartawan. Dalam ilmu terjemah menterjemah, juga saya mendapat banyak bantuan daripadanya kerana ia sungguhpun tidak bersekolah Inggeris, tetapi fahamannya dalam bahasa itu adalah lebih daripada saya”. W.R. Roft, seorang sarjana Barat yang pernah mengkaji tentang suratkhabar dan majalah Melayu dari tahun 1976 hingga 1941 mensifatkan sebagai “The most brilliant of all Malay journalists.”

Tulisan saya dalam Straits Times keluar-an 10 Jun 1972, meletakkan Kajai sebagai “A giant of his time.” “Kajai telah memberi sumbangan yang terbesar terhadap perkembangan intelektual Melayu dengan tidak putus-putus terhadap pembaharuan dan kemajuan bangsanya, ” menurut rencana itu.

Dalam keluaran khas Utusan Melayu 25 tahun, 1964, saya menulis bahawa kelebihan Kajai ialah dia mengerti peranan reporter dalam sebuah suratkhabar moden. “Ia bukan pengarang yang hanya pandai menulis dalam sebuah bilik sahaja. la sendiri keluar mencari berita dan menulis berita,” demikian menurut rencana tersebut. Dr. Ishak Haji Muhamad yang meminati tulisan-tulisan Kajai dan pernah bekerja di bawah Kajai menganjurkan (sejak tahun 1940) supaya biografi Kajai dibukukan.

Dalam rencananya di Utusan Zaman bertajuk “Tiga tahun di Singapura,” Dr. Ishak men-cadangkan: “Tidak syak lagi, pada suatu masa kelak, ada orang yang akan menyusun riwayat hidupnya (Kajai) untuk dijadikan buku bacaan am dan kenang-kenangan atas seorang yang begitu termasyur dalam masa yang akan datang”.

Dalam tahun-tahun 30an, bidang penerbitan akhbar Melayu menjadi sumber perniagaan yang menguntungkan kerana orang Melayu yang gemar membaca telah bertambah ramai. Kegemaran membaca lahir kerana kandungan akhbar-akhbar membangkitkan kesedaran politik orang-orang Melayu. Diantara isi kandungan akhbar-akhbar tahun 1930an ialah masalah-masalah politik tempatan, masalah kemasukan orang asing, keadaan sosial-ekonomi dan pergerakan politik orang Melayu. Kajai memberi sumbangan terbesar dalam perkembangan ini. Abdul Latiff Abu Bakar, yang membuat kajian mengenai pemikiran sebagai seorang wartawan, mendapati tulisan-tulisan Kajai dalam akhbar-akhbar Melayu membincangkan pergerakan politik di Tanah Melayu ketika itu.

Kajai turut memainkan peranan penting terhadap perkembangan bahasa Melayu. Beliau memberi perhatian yang serius di dalam ruangan rencana pengarang akhbarnya mengalakkan penggunaan bahasa Melayu di kalangan rakyat di samping meninggikan imej dan statusnya.

Kajai merasakan bahawa hidupnya sesuatu bangsa bergantung kepada hidup bahasanya sebagaimana perpatah Melayu, “Bahasa menunjukkan bangsa”. Kajai menegaskan dalam rencana “Kaum Manusia Kuat Mempertahankan Bahasanya,” Majlis, 16 Julai 1934, bahawa kemajuan bahasa-bahasa barat tidak sunyi daripada tokok tambah malah meminjam dari bahasa asing. Pada masa itu, kebanyakan syarikat-syarikat akhbar Melayu dipunyai oleh orang-orang Arab, tetapi orang Melayu terutama golongan wartawan mula bercita-cita menu-buhkan syarikat akhbar kepunyaan orang Melayu sendiri. Pada awal 1938, kira-kira 10 orang berkumpul di rumah Encik Daud bin Mohd. Shah (Yang Dipertua Kesatuan Melayu Singapura) untuk membincangkan perkara mendirikan perusahaan akhbar kepunyaan Melayu. Yusuf Ishak yang berkhidmat dengan Warta Malaya diberi tugas meninjau dan membuat rancangan mencari modal.

Kajai yang menjadi pengarang Warta Malaya ketika itu menyertai usaha menerbitkan akhbar yang dipunyai oleh orang Melayu. Beliau sendiri sanggup berkhidmat sebagai pengarang. Maka pada 29 Mei 1939, lahirlah Utusan Melayu. Kajai juga memimpin akhbar mingguan Utusan Zaman dan majalah bulanan Mastika. Kajai, nama penuhnya, Abdul Rahim bin Syeikh Salim Kajai, dilahirkan di Kampung Batu Tiga, Setapak, Kuala Lumpur dalam tahun 1894.

Bapanya berasal dari Kampung Kajai, di Minangkabau, Sumatra. Sempena dengan nama kampung tersebut, ayahnya yang bernama Salim, seorang Syeikh Haji di Mekah dipanggil Syeikh Salim Kajai. Walaubagai-manapun, Kajai popular di kalangan orang ramai melalui karya-karya penulisannya dengan nama Abdul Rahim Kajai yang di-ringkaskan sekali dipanggil Kajai. Ayah Kajai, iaitu Syeikh Salim Kajai datang dari keluarga yang agak mewah dan mempunyai pegangan agama Islam yang kuat. Ia bekerja sebagai Syeikh Haji di Mekah. Pada tahun 1839, beliau bertemu jodoh dengan Hajah Safiah di Mekah setelah suami Hajah Safiah meninggal dunia ketika menunaikan fardhu haji. Pada tahun 1894, Syeikh Salim Kajai menghantar isterinya pulang bersama jemaah haji dari Setapak dan Pahang kerana isterinya mengandung. Syeikh Salim balik semula ke Mekah meneruskan pekerjaannya sebagai Syeikh.
Pada tahun itu juga, Hajah Safiah melahirkan seorang anak lelaki yang diberi nama Abdul Rahim (Kajai) yang dibela oleh Hajah Safiah sendiri bersama ibunya yang bernama Wan Sri Dayang.

Kajai dipelihara dengan baik oleh ibu dan neneknya hingga mendapat didikan yang sempurna. Kajai dihantar belajar ke Sekolah Melayu Setapak pada tahun 1900. Semasa di sekolah Melayu
Setapak, beliau bolehlah dianggap sebagai seorang murid yang cergas.

Ia dipilih untok melanjutkan lagi pelajaran dengan percuma di sekolah Inggeris. Tetapi ibubapanya menolak tawaran itu kerana mereka tidak mahu sama sekali Kajai berpelajaran Inggeris. Sebaliknya, mereka menghantar Kajai belajar agama di Mekah setelah tamat darjah lima Sekolah Melayu Setapak pada tahun 1906 selama tiga tahun. Oleh kerana keluarga Kajai sangat taat kepada ajaran agama, Kajai tidak ketinggalan diberi asuhan dan didikan agama Islam. Di samping pergi ke Sekolah Melayu, pada waktu petang beliau belajar hal-hal agama seperti membaca mukadam dari keluarganya. Disamping belajar agama dan melanjutkan di sekolah Melayu, hatinya berhajat meluaskan pelajaran ke sekolah Inggeris. Mungkin Kajai memikirkan bahawa penge-tahuan dari sekolah dan bahasa Inggeris sangat penting dimasa akan datang. Ini jelas apabila Kajai sanggup belajar sendiri bahasa Inggeris.

Sewaktu berusia 13 tahun (1906) Kajai pergi ke Mekah dan tinggal bersama bapa dan ibu tirinya. Beliau sangat disayangi oleh bapanya. la belajar bahasa Arab mem-baca Kitab dan Quran dengan baik. Di samping itu, beliau mempelajari mata pelajaran seperti Usuluddin dan Fikah yang berhubung dengan perundangan Islam. Kajai kembali ke Kuala Lumpur pada tahun 1909 setelah tinggal tiga tahun di Mekah. la bekerja sebagai tukang jilid, kemu-dian menjadi pengatur huruf Melayu di Peja-bat Cetak Kerajaan di Kuala Lumpur selama 3 tahun. Beliau terus mempelajari bahasa Inggeris dan pada tahun 1912/1913, Kajai ke Singapura buat pertama kali untuk bekerja sebagai pengatur huruf Inggeris (English Compositor) di Syarikat Malaya Publishing House (MPH).

Beliau bercita-cita mencari kedudukan yang lebih baik dan awal 1913, kembali ke Kuala Lumpur dan menjadi pelukis pelatih (apprentice draughtsman) di sebuah Pejabat Jurutera Bangunan (Architect’s Office). Kemudian ia bekerja dengan kerajaan sebagai pelukis sementara (probationary draughtsman) di Jabatan Ukur Kuala Lumpur untok beberapa bulan sahaja kerana bapanya meninggal dunia pada tahun 1913. la terpaksa berhenti dari pekerjaannya. Kajai pergi ke Mekah untok menjaga adik perempuannya bernama Mariam iaitu adiknya yang berlainan ibu yang masih kecil lagi. Kajai meneruskan pekerjaan bapanya sebagai Syeikh Haji dan menyelesaikan pemberian harta pusaka ayahnya. Kajai kembali semula ke Tanah Melayu pada tahun 1917. Urusan Syeikh Haji diamanahkan kepada ibu tirinya yang bernama Arfa. Sekembalinya dari Mekah, ia tidak mempunyai pekerjaan tetap. Diantara kerjanya ialah menolong menguruskan perniagaan di salah sebuah kedai menjual getah yang besar di Setapak. Kajai meminati akhbar ketika ia ber-umur 22 tahun dan menyumbangkan berita-berita kepada akhbar-akhbar. Kajai pernah menyatakan dalam tahun 1919/1920 beliau menyumbangkan rencana-rencana mengenai soal sosial dan agama dan kadang-kadang berita kepada akhbar Utusan Melayu (terbitan The Singapore Free Press) dan Lembaga Melayu.

Beliau gembira apabila rencana-rencananya keluar dalam akbar walaupan tidak mendapat bayaran. Pada tahun 1920, Kajal berkahwin dengan Khalijah atau Rajab binti Haji Salam setelah isteri pertamanya meninggal. Perkahwinan beliau yang kedua, menghasilkan enam orang anak, iaitu lima lelaki dan seorang perempuan. Selepas berkahwin, Kajai pergi semula ke Mekah untok menguruskan Syeikh Haji serta lain-lain hal persendirian. Di Mekah mereka menetap di Bukit Syamiyah. Disamping menjadi Syeikh di Mekah, Kajai juga menjadi wakil wartawan bagi suratkhabar Mingguan, Idaran Zaman di Pulau Pinang pada bulan Januari 1925.

Haji Abdul Rahim Kajai (kiri) bersama isterinya, Puan Hajjah Khalijah dan anak perempuannya, Hajjah Aminah.
Sumber: Buku Cenderamata Malam Wartawan Malaysia, 1983.

Akhbar ini diterbitkan pada tiap-tiap hari Khamis. Pengarangnya ialah Mohd Yunus Hamid. Kajai menyumbangkan berita-berita menarik hati dari Mekah dan juga makalah-makalah lebih kurang tiga tahun hingga 1927. Pada tahun 1928, Kajai dan keluarganya terpaksa balik ke Tanah Melayu apabila ibunya meninggal dunia di Setapak. la mengamanahkan pekerjaan Syeikh Haji kepada adiknya Mariam. Kajai menetap di Tanah Melayu dan menjalankan penghidupan baru dari hasil pengalamannya sebagai seorang penulis/wartawan. Kajai menyumbangkan karyanya kepada akhbar-akhbar dan pada 15 Mac 1930, ia mula bertugas sebagai Penolong pengarang akhbar “Saudara” yang terbit pada 29 September 1928 di Pulau Pinang. Pengarang Saudara ketika itu ialah Yunus Abdul Hamid. Pada 30 Ogos 1930, tugas pengarang Saudara diserahkan sepenuhnya kepada Kajai apabila Mohd Yunus mendapat pekerjaan lain.

Akbar Saudara keluaran 30 Ogos, 1930 dibawah tajuk “Pemberian Tahu” yang ditulis oleh Mohd Yunus Abdul Hamid, menyatakan: “Berkenaan pekerjaan saya yang baru dimulai iaitu membantu memberi perkhabaran kepada beberapa akhbar Melayu dalam mana saya telah mulai pula mengirim kepada akbar Belanda di Indonesia saudara Abdul Rahim Kajai telah dapat memajukan Saudara ini. Maka oleh sebab itu, mulai daripada bilangan ini, terpaksa saya mencabut nama dan menarik diri dari-pada jawatan pengarang akhbar ini dan buat sementara waktu biarlah saya menjadi seorang daripada pembaca akhbar Melayu Semenanjung.” Kajai berhenti berkhidmat dengan “Saudara” pada 19 September 1931 dan memegang jawatan akhbar Majlis yang terbit di Kuala Lumpur pada 17 Disember 1931.

Mulai keluaran 21 Disember 1933, Kajai menulis suatu ruangan pojok di tiap-tiap keluaran Majlis di bawah tajuk, “Macam-macam” dengan menggunakan nama samaran Si Luncai. Di samping menjadi pengarang, Kajai juga bertugas sebagai pem-berita dan proof reader. Kajai berhenti dari Majlis pada 31 Januari 1935. Selepas meninggalkan Majlis, Kajai diterima menjadi wakil khas Warta Malaya di Kuala Lumpur pada 1 Februari 1935.

Seterusnya pada 7 Disember 1936, Kajai dipilih menjadi pengarang akhbar Warta Malaya di Singapura. Disamping itu, ia juga memimpin akhbar mingguan Warta Ahad dan Warta Jenaka, terbitan Warta Malaya. Kajai menulis ruangan pojok dalam Warta Jenaka bertajuk “Rencah-rencah pem-buka Selera” dengan nama samaran, “Pak Lacuk” dan menulis tidak kurang tiga puluh cerpen dalam Warta Jenaka dan kebanyakkan cerpennya berunsur pengajaran, dedikasi dan juga cerita-cerita percintaan di kalangan muda mudi ketika itu. Semangat nasionalism Kajai dapat dilihat apabila beliau sendiri pernah menegaskan bahawa di antara tugas penting Warta Malaya di bawah pimpinannya ialah:

Pertama: Membentangkan fikiran raya Melayu atau hantaran-hantaran yang berkaitan dengan siasat negeri ataupun barang se-suatunya yang berkehendakkan kepada fikiran ramal.

Kedua: Menyampaikan rayu-rayuan permohonan bahkan tuntutan orang-orang Melayu kepada kerajaan.

Ketiga: Menggambarkan penanggungan dan kesangsaraan yang diderita oleh mereka itu didesak oleh moden dan oleh modal yang membawa berjuta orang-orang dagang ke Malaya supaya diperhati oleh kerajaan mata keadilannya.

Di Warta Malaya, Kajai terus membincangkan masalah dan kemajuan Melayu. Cita-cita Kajai memperjuangkan kepentingan orang Melayu, jelas kelihatan apabila beliau menyatakan: “Adapun maksud kita membentangkan kesakitan orang Melayu itu tiada lain lagi pertamanya supaya mendapat pertimbangan kerajaan, bukannya kerana hendak memberitahu sahaja kerana kesakitan yang ditanggung oleh orang-orang Melayu itu mustahil tidak diketahui oleh kerajaan. Kita percaya seteru-seteru orang Melayu sekalipun mesti telah mengetahui kesakitan kita.”

Apabila akhbar Utusan Melayu terbit pada 29 Mei, 1939, Kajai dilantik menjadi pengarangnya.
Disamping menjadi pengarang di Warta Malaya, beliau turut bekerja dengan Utusan Melayu sehingga ia berhenti dengan Warta Malaya pada bulan Ogos 1939. Kajai juga memimpin mingguan Utusan Zaman yang terbit pada 5 November 1939 dan seterusnya majalah Mastika.

Dalam Utusan Zaman, Kajai menulis diruangan pojok disertai gambar kartun dengan tajuk “Wak Ketok”. Kajai menulis lapan buah cerpen di dalam akhbar mingguan Utusan Zaman dan empat buah cerpen di dalam majalah Mastika. Kali ini mesej yang disampaikan oleh Kajai lebih memupuk semangat kebangsaan kepada pembaca-pembaca seperti “Cerita Awang Putat,” Utusan Zaman (keluaran 1 November 1941 di samping “message” pengajaran. Pembelaan Kajai terhadap bangsa Melayu amat jelas apabila beliau menegaskan dalam Utusan Zaman keluaran 5 November 1939:

“… . pada hari ini lahirlah majalah Utusan Zaman ini dari kandungan cerita-cerita dan angan-angan sebahagian besar daripada kaum manusia yang berbangsa Melayu di Tanah Semenanjung ini iaitu bangsa yang telah meratap hampir-hampir 25 tahun lamanya kerana memandang kepada ketinggian bangsa mereka itu di dalam perlumbaan kemajuan. Tidaklah akan menjadi salah jika dikatakan mereka telah berkehendakkan melihat akhbar-akhbar dan majalah -majalah dan kitab-kitab bertaburan keluar menjadi bangsa sekira menjadi giliran budi penimbau-penimbau akal bagi membetuli pedoman dalam siasatan dan masyarakat.”

Awal Januari 1948 selepas Jepun melanggar Tanah Melayu pada 8 Disember 1941, Kajai menghantarkan keluarganya ke Kuala Lumpur. Keadaan perang bertambah sengit dan perhubungan darat antara Kuala Lumpur dan Singapura terputus. Kajai tidak dapat kembali ke Singa-pura hingga British menyerah diri kepada tentera Jepun. Dalam masa pendudukan Jepun, Kajai menerbitkan akhbar Perubahan Baharu di Kuala Lumpur di samping menjadi pengarangnya. Pada 1 Januari 1943, Kajai dilantik oleh pemerintah Jepun menjadi Ketua Pengarang akhbar Berita Malai di Singapura sehingga beliau meninggal dunia pada 5 Disember 1943.

*Teks yang diterbitkan semula ini adalah teks asal yang tidak diubah untuk menghormati penulis dan menyampaikan maksud penulis.