The Dot. | Kandungan ‘Bodoh’ vs ‘Bijak’

Dalam era digital yang semakin terhubung, media sosial telah menjadi ruang dominan dalam kehidupan harian masyarakat. Menurut laporan Digital 2024 oleh We Are Social dan Meltwater, rakyat Malaysia menghabiskan purata lebih 3 jam sehari di platform media sosial, meletakkannya antara negara dengan tahap penggunaan tertinggi di dunia.

Situasi ini menandakan bahawa media sosial bukan sekadar ruang hiburan, tetapi turut berfungsi sebagai medan utama dalam membentuk pemikiran, membina wacana awam dan mempengaruhi pengambilan keputusan dalam kehidupan seharian. Justeru, persoalan mengenai kualiti kandungan yang beredar dalam ruang ini menjadi penting untuk dianalisis secara kritikal.

Dalam wacana akademik, terdapat penjelasan antara apa yang sering dilabel sebagai kandungan “bodoh” dan “bijak”. Kandungan “bodoh” biasanya bersifat dangkal, mengutamakan sensasi dan provokasi, serta sengaja dirangka untuk menghasilkan keterujaan emosi segera, seperti ketawa, marah, terkejut tanpa memberikan nilai tambah dari segi ilmu atau pemahaman.

Sebaliknya, kandungan “bijak” menuntut usaha pemahaman yang lebih tinggi daripada khalayak dengan menawarkan penjelasan berasaskan bukti, analisis kontekstual, data yang disokong visualisasi serta naratif reflektif yang mampu menghubungkan fakta dengan realiti kehidupan. Kedua-duanya wujud dalam ekosistem media sosial yang sama, namun digerakkan oleh logik algoritma yang berbeza iaitu kandungan dangkal mudah menembusi perhatian kerana kesannya pantas dan boleh dikitar semula, manakala kandungan berilmu memerlukan masa dan daya serap untuk mendapat tempat di hati khalayak.

Persoalannya, mengapa kandungan dangkal sering mendahului? Jawapannya terletak pada logik ekonomi politik komunikasi digital. Platform media sosial menilai kejayaan berdasarkan metrik mudah diukur seperti jumlah paparan, klik, “engagement rate” serta masa tontonan awal. Algoritma mengutamakan kandungan yang mendorong interaksi segera kerana ia meningkatkan trafik dan seterusnya nilai iklan.

Oleh sebab itu, pencipta kandungan yang bergantung pada penajaan dan iklan cenderung mengoptimumkan tajuk, durasi dan gaya penyampaian untuk memintas penilaian kritis pengguna. Ini mencipta kitaran maklum balas yang berbahaya. Semakin banyak reaksi pantas, semakin luas capaian. Semakin luas capaian, semakin tinggi nilai komersial. Maka pengeluaran kandungan dioptimumkan kepada bentuk paling murah dari segi nilainya.

Sebaliknya, kandungan bijak sering tertinggal kerana memerlukan penambahbaikan nilai kandungan, masa tambahan untuk memahami kerangka, menapis bukti dan menghasilkan minat. Bagi algoritma, ini dianggap kelemahan kerana ia melambatkan aliran tontonan. Walaupun ia lebih bernilai, kandungan berilmu ini kalah dari sudut edaran dan capaian.
Fenomena ini memberi kesan besar kepada masyarakat dalam pelbagai dimensi.

Pertama, kesan pemahaman. Maklumat yang rendah nilai menyebabkan pengguna terbiasa dengan tumpuan jangka pendek. Pengulangan video pendek berasaskan jenaka remeh, gosip atau provokasi menjadikan ia lebih pantas diterima berbanding untuk membaca teks panjang atau mencerna analisis mendalam. Ini kerana tabiat membaca digital membuktikan bahawa pendedahan berterusan kepada teks ringkas boleh mengubah cara otak memproses maklumat, seterusnya menjejaskan keupayaan untuk berfikir secara reflektif.

Kedua, kesan sosial. Kandungan dangkal yang memanipulasi emosi kemarahan atau ejekan mempercepatkan lahirnya budaya memperlekeh. Ia melahirkan “komuniti tawa sinis” yang bersatu bukan melalui hujah bernas, tetapi melalui ejekan terhadap perbezaan. Dalam jangka panjang, budaya ini mengikis ruang perbincangan sihat, menggantikan wacana dengan sindiran.

Ketiga, kesan sivik. Dominasi kandungan sensasi mengaburkan isu-isu dasar. Wacana awam beralih kepada perlawanan polemik peribadi, sedangkan persoalan penting seperti harga makanan, mutu pendidikan atau integriti institusi semakin terpinggir. Ini menjejaskan fungsi media sosial sebagai ruang diskusi demokratik. Malah, generasi muda kini lebih mempercayai TikTok atau Instagram untuk berita berbanding media arus perdana, sesuatu yang jika dibiarkan tanpa penapis literasi, boleh membawa kesan besar terhadap kualiti demokrasi.

Keempat, kesan psikologi. Pengguna terperangkap antara hiburan yang memberi kelegaan seketika dengan rasa hampa kerana tidak bertambah faham. Paradoks ini menghakis keyakinan diri untuk terlibat dalam perbincangan bermakna, malah mewujudkan perasaan tidak berdaya dalam menghadapi isu-isu kompleks.

Kelima, kesan pasaran kandungan. Apabila pengiklan memberi keutamaan kepada capaian pantas berbanding mutu maklumat, penerbit media dan institusi pendidikan juga terpaksa meniru formula yang sama untuk bertahan. Akibatnya, mandat dan misi penyebaran ilmu menjadi terpinggir.

Dalam ini, dapatkan dijelaskan bahawa menghapuskan terus kandungan ringan bukanlah langkah strategik, kerana sebahagiannya berfungsi sebagai pintu masuk kepada pembelajaran. Yang lebih penting ialah bagaimana ia boleh membawa khalayak ke lorong pengetahuan yang lebih dalam. Solusinya perlu bersifat pelbagai lapis.

Pada individu, literasi media perlu ditingkatkan daripada nasihat umum seperti jangan percaya bulat-bulat kepada kemahiran mikro yang boleh dipraktikkan seperti menjejak sumber asal dalam dua klik, mengenal pasti tanda penyuntingan manipulatif, membezakan statistik, memeriksa konteks tarikh serta lokasi dan menyimpan rujukan untuk perbandingan.

Pada pencipta kandungan, strategi kandungan bijak perlu direka dalam bentuk berlapis. Contohnya, pembuka 3–7 saat untuk mencetuskan pertanyaan tulen; versi ringkas 30 saat untuk merumuskan inti; versi sederhana 1-2 minit untuk menjelaskan proses pemikiran; serta versi panjang untuk konteks dasar dan sejarah. Visualisasi data perlu jelas, rujukan mesti dipaparkan dan elemen naratif digunakan bagi memudahkan pemahaman.

Pada ekosistem, institusi media, pendidikan dan industri perlu menyelaras gaya baharu. Pengukuran kejayaan tidak boleh lagi bergantung semata-mata pada jumlah tontonan, tetapi mesti menilai kualiti penglibatan seperti kadar tontonan sehingga tamat, kadar perkongsian dan bukti pemindahan ilmu (contohnya tindakan komuniti selepas menonton).

Oleh yang demikian, diskusi mengenai kandungan “bodoh” dan “bijak” bukan sekadar soal citarasa, tetapi berkaitan dengan struktur ganjaran yang dibentuk oleh algoritma dan ekonomi digital. Jika struktur ini terus memihak kepada sensasi, masyarakat akan hanyut dalam hiburan dangkal yang meruntuhkan kekuatan berfikir dan melemahkan wacana sivik atau kesopanan.

Namun, jika literasi media ditingkatkan, pencipta kandungan diberikan insentif untuk menyampaikan ilmu dengan kreatif dan institusi mengubah KPI mereka ke arah keterlibatan bermakna, maka media sosial boleh menjadi ruang yang bukan sahaja meriah, tetapi juga mencerdaskan.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Create a new perspective on life

Your Ads Here (365 x 270 area)
Latest News
Categories

Subscribe our newsletter