SHAH ALAM, 24 September 2025 – Bahasa Melayu berdepan cabaran getir dalam era digital, tetapi pada masa yang sama memiliki peluang besar untuk digerakkan sebagai bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan bahasa serantau. Demikian ditegaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Dr. Hj. Ainol Amriz Ismail, dalam ucaptama beliau pada satu majlis akademik – Sidang Meja Bulat, Pemerkasaan Bahasa Melayu bersempena Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan di UiTM, Shah Alam, hari ini.
Menurut Dr. Ainol, cabaran utama yang bakal dihadapi ialah dominasi bahasa Inggeris dalam ruang digital global, khususnya di internet, platform penstriman dan kandungan media sosial antarabangsa. Selain itu, fenomena bahasa rojak semakin menular dalam kalangan generasi muda sehingga mengikis prestij bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu. “Jika gaya ini berterusan tanpa kawalan, bahasa Melayu mungkin hanya tinggal sebagai bahasa santai, bukan lagi bahasa yang mampu memikul peranan rasmi dan akademik,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa dalam sektor pendidikan tinggi, kelemahan paling besar ialah jurang bahan ilmiah digital dalam bahasa kebangsaan. “Kebanyakan rujukan akademik dan jurnal masih didominasi bahasa Inggeris. Jika IPT gagal menghasilkan lebih banyak bahan berkualiti dalam bahasa Melayu, maka bahasa kebangsaan akan semakin jauh dari statusnya sebagai bahasa ilmu seperti yang dihasratkan Perkara 152,” jelasnya.
Dr. Ainol menegaskan bahawa masa depan bahasa Melayu bergantung pada sejauh mana media sanggup menjadi penjaga mutu, penggerak inovasi dan pemangkin kreativiti. “Perkara 152 memberi bahasa Melayu asas perundangan. Tetapi yang akan menentukan kelangsungan ialah bagaimana media dan universiti membina keyakinan generasi muda untuk berbahasa kebangsaan di ruang digital, di ruang ilmu dan di ruang awam,” katanya.
Beliau menutup ucaptama dengan rayuan: “Bahasa Melayu mesti kekal sebagai bahasa kebangsaan, tetapi lebih dari itu ia mesti menjadi bahasa masa depan. Cabaran pasti mendatang, namun dengan strategi bersama, media mampu menjadikan bahasa Melayu bahasa ilmu, bahasa rakyat dan bahasa serantau yang disegani.”
Sidang meja bulat yang dikendalikan oleh moderator, Dr. Zulkifli Hussain ini turut dihadiri oleh tokoh akademik dan pengamal media terkemuka. Antara yang hadir ialah Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Abdul Karim, tokoh akademik dan pakar Bahasa Melayu; Puan Nor Syafinaz Samsudin, Ketua Pusat Sumber, Kementerian Komunikasi; Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah DBP; serta Tuan Sayed Munawar Sayed Mustar, advokator kandungan dan pemuka media nasional.
Turut sama hadir ialah Encik Ahmad Farami Abdul Karim, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Media Massa, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, serta Encik Ahmad Fedtri Yahya, Penerbit Eksekutif Jabatan Pengisian Islam TV3.









