The Dot. Edisi Khas | Bahasa Rojak (Siri 1)

Ucaptama Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail pada Sidang Meja Bulat Pemerkasaan Bahasa Melayu sempena Konvensyen 152 di UiTM Shah Alam, 24 September 2025.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam sejahtera,
Salam Malaysia MADANI.
Yang Berbahagia para sarjana, tokoh media, para hadirin sekalian,

Hari ini kita berhimpun untuk menyegarkan kembali kesedaran tentang bahasa kebangsaan kita, yang dimaktubkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan: Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Malaysia. Peruntukan ini bukan sekadar teks undang-undang. Ia lahir daripada sejarah panjang perjuangan bangsa, cita-cita penyatuan nasional dan semangat untuk membina sebuah negara yang berdaulat dengan bahasa sendiri.

Bahasa Melayu adalah bahasa penyatuan, bahasa ilmu, bahasa perjuangan, bahasa budaya dan bahasa rasmi negara. Namun bahasa hanya akan terus hidup jika ia diperkasakan dalam kehidupan seharian. Di sinilah media memainkan peranan utama. Media menjadi pentas untuk bahasa ini digunakan, didengar, dibaca dan difahami oleh rakyat. Dari sinilah lahir kekuatan sebenar Perkara 152.

Hadirin sekalian,

Apabila kita membaca semula sejarah akhbar dan majalah Melayu sebelum merdek – Jawi Peranakkan, Al-Imam, Saudara, Warta Malaya, Majlis, Utusan Melayu, Mastika, apa yang kita lihat bukan sekadar penerbitan berita atau cerita masyarakat. Yang kita lihat adalah proses pembinaan bahasa sebagai instrumen negara bangsa.

Mengapa begitu?

Pertama, media pra-Merdeka telah membekalkan kosa kata politik moden dalam Bahasa Melayu. Istilah seperti kemerdekaan, kedaulatan, perlembagaan, demokrasi, nasionalisme, semuanya diperkenalkan kepada rakyat melalui akhbar Melayu. Sebelum wujudnya Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, akhbar inilah “parlimen awam” tempat orang Melayu belajar bercakap tentang hak, kebebasan dan masa depan bangsa. Tanpa proses ini, bahasa Melayu mungkin kekal sebagai bahasa budaya atau agama semata-mata.

Kedua, media pra-Merdeka menjadikan Bahasa Melayu bahasa pengetahuan dan wacana, bukan hanya bahasa pergaulan. Majalah seperti Pengasuh dan Al-Ikhwan membicarakan reformasi pendidikan, kedudukan wanita, kemajuan teknologi. Panduan Guru dan Majalah Guru pula mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan moden. Kesannya, bahasa ini berfungsi sebagai wahana pemikiran, bukannya hanya alat komunikasi harian.

Ketiga, radio pra-merdeka seperti Radio Malaya meluaskan capaian bahasa kebangsaan. Ketika rakyat desa ramai yang buta huruf, radio menjadi corong berita dalam bahasa Melayu. Ia membolehkan seluruh masyarakat, tanpa mengira taraf pendidikan, memahami apa yang berlaku di dunia luar. Dari segi sosiologi bahasa, ini memperkukuh bahasa Melayu sebagai lingua franca massa, mengatasi jurang literasi.

Apabila negara mencapai kemerdekaan pada 1957, semua pengalaman ini – peranan akhbar, majalah dan radio dalam menghidupkan bahasa Melayu sebagai bahasa politik, bahasa ilmu, bahasa rakyat telah menjadi asas penting yang dirumuskan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Dengan kata lain, jika media pra-Merdeka tidak mengangkat bahasa Melayu ke pentas nasional, mungkin Perlembagaan tidak akan meletakkan bahasa ini sebagai bahasa kebangsaan. Perkara 152 bukan sekadar keputusan politik, tetapi hasil daripada sejarah panjang media Melayu memartabatkan bahasa ini.

Hadirin Sekalian,

Apabila negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Perubahan ini amat besar kerana bahasa yang selama ini menjadi senjata perjuangan akhirnya diangkat sebagai bahasa rasmi negara. Tetapi pengiktirafan undang-undang sahaja tidak mencukupi. Bahasa itu perlu dihidupkan dalam kehidupan seharian rakyat dan di sinilah media massa memainkan peranan yang kritikal. Tanpa media, status itu hanya kekal di atas kertas. Dengan media, rakyat mendengar, membaca dan menonton bahasa kebangsaan setiap hari. Media menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan pentadbiran. Melalui berita, rencana ekonomi, laporan teknologi dan liputan antarabangsa, bahasa kebangsaan diperkaya untuk menampung bidang moden.

Media membuktikan bahasa Melayu boleh menjadi bahasa penyatuan dan memperlihatkan ia sebagai bahasa rakyat. Perkara 152 mendapat kekuatan kerana media membumikan bahasa itu dalam kehidupan harian.

Hadirin Sekalian,

Sekitar tahun 1980-an hingga 2000-an, peranan media bukan hanya sekadar menyampaikan maklumat atau hiburan, tetapi turut berfungsi sebagai pemantap dan pengawal selia norma bahasa kebangsaan. Media memperkukuh bahasa Melayu melalui standardisasi dan pembakuan bahasa. Akhbar arus perdana seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan kemudian Harian Metro, walaupun berbeza gaya, tetap merujuk kepada tatabahasa baku dan gaya bahasa rasmi yang berasaskan panduan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Rencana dan berita ditapis oleh editor yang berperanan sebagai “penjaga mutu bahasa”. Walaupun sensasi menjadi strategi pemasaran, penulisan tetap menggunakan bahasa Melayu sebagai medium utama, lalu menormalkan gaya bahasa kebangsaan di hadapan jutaan pembaca. Hal ini membuktikan bahawa media menjadi benteng tatabahasa yang meneguhkan keseragaman penggunaan bahasa di seluruh negara.

Kini, kita hidup dalam era digital yang mendominasi hampir semua aspek kehidupan – daripada pendidikan, hiburan, perniagaan, sehinggalah politik. Dunia ini penuh peluang, tetapi juga penuh cabaran untuk bahasa kebangsaan kita.
Cabaran paling besar ialah dominasi bahasa Inggeris dalam ruang digital global. Kandungan di platform seperti Netflix, YouTube, TikTok dan permainan video antarabangsa sebahagian besarnya menggunakan bahasa Inggeris. Fenomena ini bukan sahaja mempengaruhi penggunaan bahasa dalam kalangan anak muda, malah menjadikan bahasa Inggeris sebagai simbol status moden dan global. Jika cara ini tidak diimbangi, bahasa Melayu berisiko terpinggir dalam domain digital.

Selain itu, kita berdepan dengan fenomena bahasa rojak di media sosial. Penggunaan bahasa bercampur-campur antara Melayu-Inggeris (misalnya “okay lah bro, chill je”) semakin meluas. Bahasa rojak ini melemahkan norma baku dan mengikis prestij bahasa kebangsaan sebagai bahasa tinggi. Dalam jangka panjang, jika tiada kawalan, generasi muda mungkin tidak lagi melihat bahasa Melayu sebagai bahasa yang wajar digunakan dalam wacana serius seperti pendidikan, sains atau pentadbiran.

Fenomena bahasa rojak dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan generasi muda bukan sekadar satu gaya komunikasi, tetapi merupakan satu gejala sosiolinguistik yang memberi kesan mendalam kepada identiti bahasa Melayu dan implikasi perlembagaan, khususnya Perkara 152. Bahasa rojak iaitu pencampuran bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris atau bahasa lain secara tidak terkawal telah muncul daripada interaksi harian, media sosial, sistem pendidikan dwibahasa dan pengaruh globalisasi. Pada satu sisi, ia dianggap sebagai gaya komunikasi yang lebih “moden” dan “fleksibel”, namun pada sisi lain, ia membawa risiko hakisan jati diri bahasa kebangsaan yang sudah termaktub kedudukannya dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam konteks generasi muda di IPT, bahasa rojak sering dikaitkan dengan budaya popular, hiburan, serta keinginan untuk kelihatan kosmopolitan. Campuran frasa “ok la, nanti I call you balik” atau “jom lepak, kita chill dulu” dianggap normal, malah sebahagiannya telah menjadi identiti komunikasi di ruang maya. Fenomena ini menandakan perubahan sikap terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; ia tidak lagi diangkat sebagai lambang kebanggaan nasional semata-mata, tetapi lebih sebagai medium komunikasi hibrid. Dari segi akademik, situasi ini memperlihatkan pergeseran domain penggunaan Bahasa, di mana bahasa Melayu tidak lagi dominan di ruang intelektual, bahkan dalam ruang santai anak muda ia diletakkan bersaing dengan bahasa Inggeris.

Risiko paling besar ialah penghakisan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa penyatu bangsa. Apabila generasi muda membiasakan diri dengan bahasa rojak, tahap kecekapan mereka dalam berbahasa Melayu yang betul semakin menurun. Struktur ayat bercampur, tatabahasa diabaikan dan kosa kata asal semakin terhakis. Ini akhirnya memberi kesan kepada keupayaan mereka menulis, berhujah, serta menghasilkan wacana akademik yang bernas dalam bahasa kebangsaan. Dalam jangka panjang, jurang ini menimbulkan dilema terhadap agenda pemerkasaan bahasa Melayu di IPT kerana mahasiswa yang diharap menjadi kelompok intelektual tidak menguasai bahasa kebangsaan secara mantap. Perkara ini berisiko melemahkan aspirasi Perkara 152 yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Dari perspektif perlembagaan, fenomena bahasa rojak memberi cabaran serius kepada prinsip pemeliharaan bahasa Melayu. Perkara 152 bukan sekadar teks undang-undang, tetapi manifestasi kontrak sosial yang memastikan bahasa kebangsaan menjadi asas penyatuan. Jika generasi muda semakin terbiasa dengan bahasa campuran tanpa disiplin, ia boleh mengikis penghormatan terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai simbol negara. Malah, jika fenomena ini tidak ditangani, ia berpotensi melahirkan generasi yang memandang bahasa Melayu sebagai bahasa kelas kedua, hanya sesuai untuk konteks tertentu, sementara bahasa rojak atau Inggeris dianggap lebih relevan untuk komunikasi “moden” dan “antarabangsa”. Sikap ini bukan sahaja melemahkan warisan bahasa, tetapi juga mengancam usaha negara dalam memperkukuhkan identiti kebangsaan melalui bahasa.

Fenomena bahasa rojak juga menimbulkan dilema sosio-psikologi. Generasi muda yang tidak lagi menuturkan bahasa Melayu dengan penuh keyakinan berisiko kehilangan rasa kebanggaan dan patriotisme bahasa. Mereka cenderung memandang rendah kepada bahasa kebangsaan sendiri, berbanding dengan bangsa lain seperti Jepun, Korea atau Perancis yang mempertahankan bahasa ibunda mereka walaupun dalam era globalisasi. Kekurangan semangat ini memberi kesan kepada keutuhan nasional kerana bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi wahana pembentukan jiwa kebangsaan. Jika bahasa kebangsaan diletakkan sebagai bahasa kelas kedua dalam praktik generasi muda, maka roh perpaduan yang dikehendaki oleh Perkara 152 akan semakin longgar.

Dalam dunia pendidikan, IPT menjadi medan yang paling kritikal. Universiti seharusnya menjadi benteng mempertahankan dan memperkaya bahasa Melayu melalui penulisan akademik, forum ilmiah dan wacana nasional. Namun apabila mahasiswa sendiri lebih cenderung menggunakan bahasa rojak dalam tugasan, perbincangan atau media sosial universiti, IPT dilihat gagal melaksanakan peranannya dalam melahirkan graduan yang mampu menjadi model patriotisme bahasa. Risiko ini akan menjejaskan kesinambungan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, walaupun ia diiktiraf di peringkat perundangan.

Bahasa rojak dalam kalangan pelajar IPT dan generasi muda membawa kesan yang mendalam kepada pemerkasaan bahasa Melayu dan pelaksanaan Perkara 152. Ia bukan sekadar isu linguistik, tetapi persoalan ideologi, identiti dan kelangsungan bahasa kebangsaan dalam kerangka negara bangsa. Risiko penghakisan tatabahasa, kehilangan kosa kata dan pengabaian nilai patriotisme bahasa tidak boleh dipandang ringan. Media, institusi pendidikan dan masyarakat perlu melihat fenomena ini sebagai satu ancaman serius terhadap kedudukan bahasa Melayu yang telah dipersetujui dalam Perlembagaan. Jika dibiarkan tanpa intervensi, generasi masa depan mungkin hanya mengenal bahasa kebangsaan dalam bentuk yang bercampuraduk, kehilangan kemurniannya dan akhirnya melemahkan semangat kebangsaan yang menjadi teras negara Malaysia.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Create a new perspective on life

Your Ads Here (365 x 270 area)
Latest News
Categories

Subscribe our newsletter