BATU PAHAT, 15 Januari 2025 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Malaysian Press Institute (MPI) telah mengadakan mesyuarat serta sesi ramah mesra bagi membincangkan kerjasama strategik dalam bidang media dan komunikasi khususnya melibatkan teknologi dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Prof. Ts. Dr. Elmy Johana Binti Mohamad, Pengarah Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Korporat UTHM. Perbincangan memberi tumpuan kepada usaha menggalakkan pensyarah UTHM menghasilkan penulisan teknikal dan teknologi menggunakan bahasa yang lebih mudah difahami (bahasa layman) agar ilmu dapat disampaikan secara lebih berkesan kepada masyarakat umum.
Kerjasama strategik ini juga merangkumi aspek latihan penulisan dan pendedahan media kepada profesor serta pensyarah UTHM di samping perancangan program bersama pelajar bagi melahirkan penulis dan pencipta kandungan berteraskan ilmu, fakta dan nilai akademik.
Dalam sesi perkongsian, Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong dan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail, berkongsi pengalaman luas dalam dunia media. Mereka menegaskan bahawa setiap penulisan haruslah berlandaskan fakta.
Dr. Haji Ainol turut menekankan peranan pelajar sebagai agen universiti dan pencipta kandungan (content creator) yang mampu menyebarluaskan ilmu dan kepakaran yang dipelajari kepada masyarakat melalui platform media dan digital.
Mesyuarat ini melibatkan delegasi MPI yang diketuai oleh Datuk Yong Soo Heong, bersama Dr. Haji Ainol Amriz Ismail; Puan Norlida Jamain, Pengurus Besar MPI; Norfatin Syahira Jusoh, Eksekutif Kesetiausahaan/Pentadbiran dan Muhammad Asyraf Rosmidi, Eksekutif Kandungan Kreatif.
Turut bersama daripada UTHM, terdiri daripada barisan kakitangan UTHM daripada pelbagai jabatan dan fakulti, barisan penulis UTHM, serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Sesi mesyuarat dan ramah mesra ini diakhiri dengan jamuan makan tengah hari bersama Prof. Dr. Shahruddin bin Mahzan @ Mohd Zin, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTHM sebagai simbol pengukuhan hubungan dan komitmen kedua-dua pihak ke arah kerjasama berimpak tinggi.



