Kuala Terengganu, 24 Januari — Usaha memperkukuh keupayaan media, komunikasi dan kewartawanan dalam kalangan ahlinya terus diperkasakan apabila Malaysian Press Institute (MPI) mengadakan kunjungan hormat di kediaman kepimpinan tertinggi Majlis Pengakap Negeri Terengganu bagi membincangkan potensi kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.
Kunjungan tersebut telah diadakan di kediaman Tan Sri Dato’ Haji Abdullah Haji Taib, Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Terengganu merangkap Bendahari Kehormat Majlis Pengakap Malaysia, bersama Puan Sri Toh Puan Hajah Nariah Muhamad, Pesuruhjaya Kehormat Pengakap Negeri Terengganu.
Perbincangan memberi fokus kepada pembangunan program latihan media, komunikasi dan kewartawanan yang lebih sistematik melibatkan Persekutuan Pengakap Malaysia, khususnya Pengakap Negeri Terengganu. Kerjasama ini dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam memperkukuh kemahiran komunikasi strategik, pengurusan media dan kepimpinan belia dalam era digital yang semakin mencabar.
Inisiatif ini turut mengambil kira detik bersejarah apabila Pengakap Negeri Terengganu bakal menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-100 pada tahun 2026 (1926–2026). Sebagai kemuncak sambutan tersebut, satu Jambori Antarabangsa Pengakap Terengganu dirancang, yang dijangka menghimpunkan penyertaan pengakap dari dalam dan luar negara. Program latihan media yang dirancang bersama MPI berpotensi menjadi platform sokongan strategik kepada kejayaan penganjuran berskala besar itu.
Delegasi MPI diketuai oleh Datuk Yong Soo Heong, Presiden MPI, bersama Dr. Haji Ainol Amriz Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif; Puan Norlida Jamain, Pengurus Besar; serta Encik Muhammad Asyraf Rosmidi, Eksekutif Kandungan Kreatif.
Sementara itu, pihak Pengakap Negeri Terengganu diwakili oleh Dr. Shahrul Azwan Mohamad @ Endut, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Terengganu, dan Puan Hajah Zah Mohamad, Setiausaha Kehormat Majlis Pengakap Negeri Terengganu.
Kunjungan ini diharap menjadi titik permulaan kepada kerjasama strategik yang lebih menyeluruh, sekali gus memperkasa peranan Pengakap sebagai organisasi yang progresif, berdaya saing dan relevan dengan landskap media serta komunikasi semasa, sejajar dengan aspirasi pembangunan pelbagai generasi yang berpengetahuan, beretika dan berdaya tahan.



