PUTRAJAYA, 29 Januari 2026 — Malaysian Press Institute (MPI) mengadakan sesi libat urus bersama barisan Ahli Majlis Pentadbir bagi memperkukuhkan pembangunan industri kewartawanan dan media negara yang lebih berdaya tahan, beretika serta relevan dengan cabaran semasa.
Sesi libat urus tersebut dipengerusikan oleh Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong, dan turut dihadiri Timbalan Presiden, Cik Farrah Naz Abd Karim, sebagai platform strategik untuk bertukar pandangan, menyelaras hala tuju serta merangka inisiatif berimpak tinggi demi kelangsungan profesionalisme kewartawanan di Malaysia.
Antara Ahli Majlis Pentadbir yang hadir ialah Encik Mohd Azri Atan (TV3), Dr. Diana Dominic (Persatuan Wartawan Sabah), Encik Ronnie Teo (Persatuan Wartawan Bahagian Kuching – KDJA), Encik Zamri Rambli (Sinar Harian), Encik Choo Joon Kian (Sin Chew Daily), Puan Mariah Doksil (Persatuan Wartawan Sabah) dan Encik Thiaga Rajan (Vanakkam Malaysia).
Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPI, Datuk Mustapa Omar dan Dr. Safar Hasim, dan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail yang berkongsi pandangan berkaitan peranan strategik institusi dalam meningkatkan kompetensi pengamal media merentas platform.
Libat urus berkenaan diselaraskan oleh Pengurus Besar, Puan Norlida Jamain, serta barisan sekretariat MPI terdiri daripada Encik Salman Husni Abdollah, Pengurus Anugerah, Unit Projek Khas; Puan Nur Afiqah Rahmat, Koordinator Projek, Unit Projek Khas; Puan Norfatin Syahira Jusoh, Eksekutif Kesetiausahaan/Pentadbiran; Encik Muhammad Asyraf Rosmidi, Eksekutif Kandungan Kreatif serta Cik Nurul Ifatul Aisyah Ahmad Zulkarnain, Pelatih Kandungan Kreatif.
MPI komited untuk terus berperanan sebagai institusi utama pembangunan kewartawanan negara melalui pendekatan libat urus strategik, latihan berterusan dan kolaborasi rentas industri demi memperkasa ekosistem media yang profesional, berintegriti dan berdaya saing.



