Cyberjaya, 22 Julai 2025 – Hari ini merupakan hari kedua Kursus Pengurusan Video & Audio Podcast yang sedang berlangsung di Pusat Latihan MPI, Cyberjaya.
Sesi pada pagi ini membuka peluang kepada para peserta mendalami slot kursus bagi tajuk “Memahami Format Temu Bual Podcast”, yang disampaikan oleh penceramah jemputan istimewa, Encik Ally Iskandar, personaliti media berpengalaman luas yang juga Pengacara Rancangan Bual Bicara BERNAMA TV.
Penceramah berkongsi ilmu serta pengalamannya dalam dunia penyiaran, khususnya dalam teknik mengendalikan temu bual yang efektif, susunan struktur perbualan, dan pendekatan bercerita yang mampu menambat perhatian pendengar.
Slot ini memberi fokus kepada aspek format dan gaya penyampaian dalam podcast temu bual terutamanya dari segi persediaan awal, kaedah mengenal pasti topik serta tetamu yang sesuai, serta teknik bertanya soalan yang mendalam tetapi santai dalam sesebuah rakaman podcast.


