Dalam sejarah kewartawanan Malaysia, ruangan pojok yang sering menjadi ruang kecil di sisi akhbar mahupun media sosial dan portal berita, tetapi mempunyai pengaruh besar terhadap pemikiran umum, telah memainkan peranan yang tidak boleh dipandang ringan.
Pojok bukan sekadar catatan ringkas atau ulasan editorial. Ia ialah nadi kepada pendirian sesebuah organisasi media. Dalam konteks ini, nama Awang Selamat muncul sebagai lambang kepada satu bentuk kewartawanan yang tajam, berwibawa dan berakar pada prinsip memperjuangkan kebenaran serta kesejahteraan nasional.
Awang Selamat bukan individu sebenar, tetapi persona kolektif yang mewakili suara editorial Utusan Malaysia selama berdekad-dekad. Nama itu menjadi simbol gaya penulisan pojok yang berani, kritikal dan sinis, namun disampaikan dengan nada yang masih berlandaskan disiplin bahasa dan adab wacana. Dalam konteks penulisan editorial, kekuatan Awang Selamat bukan sekadar pada isi, tetapi pada kaedah dan gaya yang konsisten. Jelaslah ia adalah gabungan antara hujah rasional, bahasa yang menyengat dan kesetiaan terhadap idealisme Melayu serta kepentingan negara.
Penilaian terhadap kredibiliti ruangan pojok seperti ini memerlukan pendekatan dwisisi iaitu antara kebebasan bersuara dan tanggungjawab sosial. Dalam sejarah kewartawanan moden Malaysia, Awang Selamat telah menunjukkan keupayaan menyeimbangkan dua dunia ini. Tulisan-tulisannya sering mencetuskan perdebatan, tetapi ia jarang lari daripada kerangka moral dan nasional. Inilah yang membentuk kredibiliti sebenar iaitu keberanian yang disertai dengan tanggungjawab.
Pojoknya tidak pernah sekadar mengulas isu semasa secara dangkal malah ia menyelami dasar, meneliti dasar moral dan mencabar hipokrasi kuasa dengan cara yang terhormat.
Namun begitu, dalam analisis akademik, kewibawaan ini turut mengundang perdebatan. Ada yang melihat Awang Selamat sebagai suara yang terlalu dekat dengan ideologi pemerintah, terutama dalam era di mana media arus perdana menjadi sebahagian daripada mekanisme negara. Kritikan ini bukan tidak berasas. Dalam sesetengah tempoh sejarah, pojok itu digunakan untuk mempertahankan dasar atau menangkis kritikan politik.
Tetapi di sinilah terletaknya keunikan peranan editorial. Ia tidak semestinya bersifat neutral, kerana fungsinya ialah membentuk pendapat awam, bukan sekadar menyalurkan fakta. Dalam tradisi kewartawanan klasik, pojok ialah medan untuk berfikir, menegur dan memimpin pandangan, bukan hanya menyiarkan berita.
Dalam konteks pembangunan masyarakat, Awang Selamat membawa satu bentuk penyertaan intelektual dalam ruang awam. Ia mendidik pembaca untuk menilai isu secara rasional dan berfikir tentang dasar awam dalam konteks yang lebih besar. Hal ini adalah sesuatu yang kini semakin hilang dalam landskap media digital yang dipenuhi dengan nada sensasi dan cetek. Tulisan pojok mengajar pembaca untuk meneliti bukan hanya apa yang berlaku, tetapi mengapa ia berlaku. Pendirian ini membina disiplin membaca dan menulis yang berasaskan fakta, bukan emosi.
Namun, zaman telah berubah. Dalam era media sosial dan portal berita segera, gaya pojok seperti Awang Selamat sering dianggap lambat, ketinggalan atau terlalu berat untuk khalayak baharu. Walhal, di sebalik perubahan medium, nilai yang dibawa iaitu kejujuran, ketajaman fikiran dan keberanian intelektual masih kekal relevan.
Hari ini, apabila ramai penulis maya menggunakan nama samaran untuk mengulas isu tanpa tanggungjawab atau disiplin fakta, gaya pojok seperti ini seharusnya diangkat semula sebagai contoh etika kewartawanan yang berprinsip. Ia mengingatkan kita bahawa pena mesti disertai niat yang jelas, bukan untuk mencetuskan kebencian, tetapi untuk membina kefahaman.
Kredibiliti ruangan pojok tidak terletak pada populariti atau jumlah bacaan, tetapi pada konsistensi hujah dan kejujuran intelektualnya. Tulisan seperti Awang Selamat berjaya mewujudkan ruang perdebatan sihat antara rakyat dan pemerintah. Kadangkala ia menyakitkan, kadangkala ia menghiburkan, tetapi ia sentiasa mencetuskan renungan. Kekuatan inilah yang membezakan pojok daripada kolum biasa kerana ia bukan sekadar teks, tetapi pernyataan sikap terhadap zaman.
Jika dinilai dari sudut penyelidikan media, ruangan pojok seperti Awang Selamat membentuk genre tersendiri dalam kewartawanan Malaysia. Ia merupakan wadah semi-editorial yang merentas batas berita dan esei. Ia menggunakan gaya bahasa yang menggabungkan logik, sindiran dan moral nasionalisme. Keberkesanan gaya ini bergantung kepada sejauh mana penulis dapat mengekalkan keaslian suara serta ketelusan niat di sebalik setiap ayat. Ketika media baharu kini dikuasai oleh algoritma dan keghairahan untuk tular, model kewartawanan seperti ini menjadi rujukan penting untuk memahami bagaimana naratif dibina dengan disiplin dan wibawa.
Dalam kerangka lebih luas, perdebatan tentang kredibiliti ruangan pojok hari ini bukan hanya soal bentuk tulisan, tetapi juga tentang ekosistem yang boleh dipercayai. Sejauh mana masyarakat mempercayai media sebagai suara hati nurani bangsa. Kewartawanan seperti Awang Selamat telah membina asas itu dengan sabra terutama menggunakan bahasa yang mudah tetapi tajam, membongkar kelemahan dasar tanpa menghina dan menyindir dengan tujuan mendidik.
Oleh itu menilai kredibiliti ruangan pojok menuntut kita melihat semula peranan kewartawanan itu sendiri. Apakah ia masih menjadi medan intelektual yang berani dan beradab atau sekadar ruang hiburan politik yang kehilangan jiwa? Dalam menghadapi gelombang media digital yang serba pantas dan sering longgar dari segi etika, semangat Awang Selamat perlu dihidupkan semula, bukan dengan meniru nadanya, tetapi dengan mengekalkan rohnya iaitu keberanian untuk menulis benar, kejujuran dalam menegur dan kebijaksanaan dalam menilai.
Di situlah letaknya maruah sebenar kewartawanan berwibawa, di pojok kecil yang menulis dengan akal dan hati untuk bangsa Malaysia.



