Shah Alam, 15 Oktober 2025 – Hari ini telah berlangsung Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Malaysian Press Institute (MPI) bertempat di Pejabat Presiden MAPIM, Shah Alam.
Kerjasama strategik ini dimeterai bagi memperkukuh peranan media dalam mengetengahkan isu-isu kemanusiaan sejagat serta memperluaskan kefahaman terhadap konflik kemanusiaan global.
Melalui MoU ini, kedua-dua pihak berhasrat untuk memperkukuh jaringan kolaborasi dalam aspek latihan, penyelidikan serta pelaporan berita yang beretika dan berpaksikan nilai kemanusiaan.
“Melalui MoU ini, MPI dan MAPIM berhasrat untuk menggerakkan agenda kesedaran, informasi dan komunikasi kemanusiaan agar isu-isu global seperti konflik di wilayah bergolak dapat dilaporkan secara betul, tepat, berhemah dan berlandaskan prinsip kewartawanan profesional,” kata Timbalan Presiden Malaysian Press Institute (MPI) selaku wakil MPI, Cik Farrah Naz Abd Karim.
Majlis menandatangani memorandum disempurnakan oleh Presiden MAPIM, Haji Mohd Azmi Abdul Hamid (Cikgu Azmi) dan Cik Farrah Naz Abd Karim mewakili MPI. Turut diadakan sidang media selepas majlis tersebut bagi menjelaskan matlamat serta hala tuju kerjasama ini kepada pihak media.
Delegasi MPI yang turut hadir menyaksikan majlis tandatangan tersebut termasuk Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong, Pengurus Kanan Unit Pengurusan Projek, Dr. Nuzatul Shima Sulaiman, Eksekutif Kanan Unit Projek Khas, Puan Nur Ramizah Abdul Aziz, serta beberapa wakil sekretariat MPI yang lain.
Diharapkan hubungan yang terjalin antara MPI dan MAPIM ini dapat mengukuhkan lagi jaringan kerjasama antara organisasi media dan pertubuhan kemanusiaan, sekali gus memperkasakan suara rakyat Malaysia dalam memperjuangkan keadilan dan kemanusiaan di peringkat global.










