KUALA LUMPUR, 5 Februari 2025 – Malaysian Press Institute (MPI) telah mengadakan kunjungan hormat ke Institut Integriti Malaysia (IIM) bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam memperkasa kefahaman mengenai prinsip integriti dalam kalangan masyarakat, termasuk pengamal media.
Delegasi MPI diketuai oleh Presidennya, Datuk Yong Soo Heong, bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Tuan Haji Ainol Amriz Ismail serta Pengurus Besar, Puan Norlida Jamain dan telah disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Tuan Haji Rahman Mohd Din, di pejabat IIM, Kuala Lumpur.
Pertemuan ini bertujuan memperkukuh pertukaran kepakaran dan kerjasama dalam bidang literasi integriti serta kewartawanan beretika. Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan inisiatif melatih staf IIM dalam kemahiran komunikasi digital bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian mesej berkaitan integriti kepada masyarakat melalui pelbagai platform media.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, MPI menawarkan latihan kepada staf IIM yang merangkumi pelbagai aspek, termasuk kemahiran dalam menghasilkan kandungan digital, penyampaian informasi yang berkesan serta keberkesanan komunikasi digital. Latihan ini bertujuan memperkasa keupayaan IIM dalam menyebarluaskan mesej integriti secara lebih efektif kepada khalayak, seiring dengan perkembangan teknologi dan cabaran komunikasi masa kini.
Selain itu, IIM dilihat sebagai sebuah institusi yang wajar dikenali oleh masyarakat bukan sekadar sebagai badan yang berkaitan dengan penguatkuasaan, tetapi lebih penting sebagai entiti pendidikan yang memainkan peranan dalam membimbing dan membudayakan nilai integriti dalam kehidupan seharian. Pendekatan ini selaras dengan matlamat IIM untuk mendidik dan membentuk kesedaran dalam kalangan rakyat, agar nilai-nilai ketelusan, kejujuran dan tanggungjawab dapat diperkukuhkan dalam setiap lapisan masyarakat.
Sebagai langkah seterusnya, IIM telah dipelawa untuk menjelaskan peranan dan fungsinya dalam program bersama media yang akan dianjurkan dengan MPI. Program ini bertujuan memberikan pendedahan yang lebih mendalam kepada pengamal media mengenai kepentingan integriti dalam penyampaian maklumat serta memastikan penyebaran berita yang beretika dan bertanggungjawab.
Kerjasama erat antara IIM dan MPI ini diharap dapat memperkukuh budaya integriti dalam kalangan masyarakat dan media. Dalam masa terdekat, lebih banyak program bersama akan dilaksanakan bagi memperluaskan jangkauan maklumat serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan integriti dalam pembangunan negara.
Dengan jalinan kerjasama ini, kedua-dua institusi komited untuk terus menggerakkan pelbagai inisiatif yang menyokong pemerkasaan nilai ketelusan, kejujuran dan tanggungjawab, selaras dengan aspirasi negara untuk membentuk masyarakat yang berintegriti tinggi.




