Cyberjaya | 23 April 2025 – Hari kedua Bengkel Kewartawanan Solo diteruskan pagi ini dengan sesi yang dikendalikan oleh Dr. G. Manimaran, Perunding Media dan Komunikasi, yang menyentuh topik penting berkaitan Kod Etika dan Undang-Undang Kewartawanan.
Dalam sesi ini, penceramah memberi penekanan menyeluruh terhadap prinsip etika kewartawanan yang perlu diamalkan oleh setiap pengamal media terutamanya kalangan wartawan dalam memastikan penyampaian maklumat yang bertanggungjawab dan berintegriti. Beliau turut menghuraikan isu-isu berkaitan undang-undang termasuk hak cipta, privasi dan fitnah yang menjadi cabaran dalam dunia kewartawanan masa kini.
Pendedahan berkaitan kajian kes yang pernah berlaku juga dapat memberikan ruang kepada peserta untuk mengaplikasikan pemahaman mereka dalam menghasilkan laporan yang berfakta dan tepat. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran peserta terhadap aspek perundangan, malah memperkukuh nilai etika dalam penyampaian berita.





