Cyberjaya, 29 April 2025 – Pada sebelah petang Kursus Istilah Baharu Kewartawanan yang diadakan secara hibrid ia diteruskan lagi dengan sesi bimbingan bersama YBhg. Dato’ Dr. Johnson Fernandez, Managing Editor Revon Media Sdn Bhd dan bekas Penulis serta Editor Sukan di National Echo, The Star dan The Malay Mail.
Dalam sesi yang dihadiri lebih kurang 40 orang peserta ini, penceramah memperkenalkan kepada peserta pelbagai istilah khusus yang digunakan dalam dunia sukan, merangkumi istilah dalam pelaporan bola sepak, badminton, olahraga (atletik), serta sukan antarabangsa lain. Peserta didedahkan kepada kepentingan penggunaan istilah yang tepat dalam laporan berita sukan bagi memastikan maklumat yang disampaikan jelas, mudah difahami dan menepati kehendak pembaca.
Selain teori, peserta turut menjalani latihan praktikal dengan mengenal pasti jenis sukan berdasarkan artikel akhbar yang diberikan. Latihan ini bertujuan mengasah kepekaan peserta terhadap gaya dan penggunaan istilah sukan dalam penulisan sebenar.
Seterusnya, peserta diberi tugasan untuk menulis laporan sukan berdasarkan perlawanan sebenar, di mana mereka perlu mengaplikasikan istilah yang dipelajari dengan betul dan membina laporan yang padat, menarik serta memenuhi standard kewartawanan sukan profesional.
Melalui sesi ini, peserta bukan sahaja mempelajari teknik penggunaan istilah sukan yang tepat, malah turut meningkatkan kemahiran dalam penulisan berita sukan yang lebih bertenaga dan berkesan untuk pembaca masa kini.






