GEORGE TOWN, 26 Jun – Malaysian Press Institute (MPI) hari ini menandatangani surat hasrat (Letter of Intent) dengan Han Chiang Kolej University of Communications dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di kampus institusi pengajian tinggi tersebut.
Surat hasrat berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, En. Ainol Amriz Ismail dan Naib Canselor Han Chiang Kolej University, Prof. Madya Dr. Beh Kok Hooi, menandakan komitmen awal kedua-dua pihak untuk menjalinkan kerjasama strategik dalam bidang kewartawanan, media dan komunikasi.
Hadir sama menyaksikan Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong dan Pengurus Besar MPI, Norlida Jamain. Sementara delegasi Han Chiang University College of Communication disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik), Puan Jenny Khoo serta Dekan Fakulti Komunikasi dan Media, Encik Chuah Chin Guan.
Selepas sesi tandatangan, kedua-dua pihak turut bertukar dokumen sebagai simbolik permulaan kepada kolaborasi yang lebih menyeluruh pada masa hadapan. Majlis turut disaksikan oleh barisan pengurusan kanan Han Chiang serta pensyarah Fakulti Komunikasi dan Media.
Kandungan surat hasrat ini merangkumi perancangan awal untuk pelaksanaan bersama program latihan media, penyelidikan akademik serta penganjuran simposium dan forum berkaitan industri kewartawanan. Kedua-dua pihak kini dalam proses memperhalusi butiran kandungan untuk dimuktamadkan dalam satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
Menurut Ainol Amriz, kerjasama ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh jaringan antara akademia dan industri media, khususnya dalam usaha membentuk wartawan masa hadapan yang beretika, mahir teknologi dan peka terhadap perubahan ekosistem digital.












