Cyberjaya | 10 Julai 2025 – Pagi ini, delegasi The Communication and Multimedia Content Forum of Malaysia (CMCF) telah mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Malaysian Press Institute (MPI) di Pusat Latihan MPI, Cyberjaya.
Delegasi CMCF diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Puan Mediha Mahmood bersama pegawai kanan iaitu Puan Mawar Abd Latiff, Pengurus Besar; Puan Amalia Mohd Suhaimi, Pengurus Kanan; dan Encik Ahmad Fazlin Abu Kassim, Pengurus.
CMCF merupakan sebuah badan kawal selia industri berasaskan kendiri (self-regulatory industry forum) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang berperanan menggubal dan menguatkuasakan Kod Kandungan bagi memastikan kandungan media dan komunikasi di Malaysia adalah bertanggungjawab, seimbang dan beretika.
Pertemuan ini membincangkan beberapa kerjasama strategik antara MPI dan CMCF, termasuk peluang latihan, perkongsian kepakaran serta penganjuran program kesedaran bersama untuk pengamal media dan warga industri. Lima program telah dicadangkan dalam sesi tersebut, dan program kerjasama pertama dijangka akan diadakan pada September ini.
Menurut Puan Mediha, “Alhamdulillah, Datuk Yong telah menyatakan persetujuan untuk MPI dan CMCF bekerjasama dan kami juga mencadangkan perjanjian persefahaman antara CMCF dan MPI dapat dimeterai.”
Delegasi MPI pula diketuai oleh Presiden, Datuk Yong Soo Heong bersama Ketua Pengurus, Puan Norlida Jamain dan wakil sekretariat MPI, Aisyah.
Kerjasama ini dijangka dapat memperkukuh usaha memartabatkan kandungan media yang bertanggungjawab serta memperkasakan amalan kewartawanan di negara ini.







