Cyberjaya, 12 Ogos 2025 – Hari pertama bengkel ‘The Power of Visuals & AI: Using AI for Infographics & Creative Presentations’ anjuran Malaysian Press Institute (MPI) sedang berlangsung di Pusat Latihan MPI, Cyberjaya. Bengkel selama dua hari iaitu pada 12 dan 13 Ogos 2025 ini dikendalikan oleh Encik Tung Eng Hwa, Editor Eksekutif Reka Bentuk Kandungan The Star dan dihadiri oleh 19 orang peserta dari Jabatan Penerangan (JAPEN), Lembaga Tabung Haji, Media Digital Johor dan USIM.
Pada sesi pagi ini, para peserta didedahkan dengan topik ‘Understanding the Power of Visuals’, yang merangkumi pengenalan kepada definisi infografik, jenis-jenis grafik, serta panduan asas dalam mereka bentuk infografik – termasuk perkara yang wajar dan tidak wajar dilakukan dalam proses reka bentuk visual yang efektif.
Sesi diteruskan dengan sesi ‘Brainstorming and Sketching Idea’ , di mana peserta berbincang dan berkongsi idea secara berkumpulan. Beberapa contoh infografik yang berkualiti turut dipersembahkan sebagai rujukan dan inspirasi kepada para peserta.
Bengkel ini memberi pendedahan yang mendalam berkaitan asas reka bentuk visual dan infografik dengan mengetengahkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam menghasilkan persembahan kreatif.






