KUALA LUMPUR, 12 Ogos 2025 – Malaysian Press Institute (MPI) hari ini diumumkan sebagai salah satu rakan strategik bagi Global Public Relations Conference & Festival 2025 (GPRCFMY 2025) yang akan berlangsung dari 13 hingga 15 November 2025 di World Trade Centre Kuala Lumpur.
Persidangan yang julung kali diadakan ini dianjurkan oleh Public Relations Practitioners Society of Malaysia (PRactitioners) dan menghimpunkan pengamal perhubungan awam, pemimpin komunikasi serta pembuat dasar dari seluruh dunia di bawah tema “Humanity Amplified: Redefining Public Relations in the Age of Intelligence.”
Selain MPI yang diketuai Presiden, Datuk Yong Soo Heong, enam lagi organisasi terkemuka turut menandatangani surat persefahaman sebagai rakan strategik, termasuk National Press Club (NPC), Public Relations and Communications Association of Malaysia (PRCAM), Malaysian Institute of Management (MIM), Malaysian Advertisers Association (MAA), Malaysia Association of Communication Educator (MACE) dan Malaysia HR Forum.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk P. Kamalanathan berkata, pelantikan rakan strategik ini mencerminkan komitmen bersama untuk memartabatkan industri komunikasi dan menjadikan persidangan ini sebagai platform serantau bagi pertumbuhan profesional, dialog, dan inovasi.
Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr. Ainol Amriz Ismail berkata GPRCFMY ini diharapkan dapat memahamkan rakan-rakan media yang berhadapan dengan pelbagai cabaran teknologi dan ada resolusi yang dapat dicapai melalui persidangan kali ini.
Melalui sesi perbincangan pakar, ucapan utama, bengkel interaktif, pameran industri dan sesi jaringan terpilih, GPRCFMY 2025 akan membincangkan peranan baharu perhubungan awam dalam era digital yang pesat berubah.
Maklumat lanjut mengenai GPRCFMY 2025 boleh didapati di laman web rasmi https://gprcfmy.com.



