REMBAU, 10 Disember 2025 – Kerjasama antara pemain industri media dan institusi pengajian tinggi perlu diperkukuh secara konsisten bagi memastikan pelajar menerima pendedahan berterusan terhadap amalan sebenar dunia kewartawanan dan penyiaran. Penegasan itu disuarakan dalam sesi lawatan dan perkongsian ilmu melibatkan beberapa tokoh media ke Studio Penyiaran, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Rembau hari ini.
Lawatan tersebut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Dr. Ainol Amriz Ismail bersama wartawan berpengalaman, Razali Awang, Azwaliza Azman, dan Zharif Aziz Desa. Kehadiran mereka disambut wakil fakulti, termasuk Penolong Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau Profesor Madya Dr Masitah Ahmad; Ketua Pusat Pengajian Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau, Puan Maizura Haji Manshor dan barisan pensyarah fakulti.
Menurut Dr. Ainol, jalinan kerjasama industri–universiti tidak harus bersifat sementara, sebaliknya perlu digerakkan secara berterusan untuk menghasilkan impak yang lebih besar terhadap kebolehpasaran dan kompetensi pelajar.
“Kolaborasi seperti ini tidak boleh terhenti pada satu program. Ia mesti menjadi agenda jangka panjang supaya pelajar bukan sahaja belajar teori, tetapi memahami bagaimana media bekerja secara sebenar,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pengamal media wajar dilantik sebagai mentor, panel industri atau penasihat fakulti bagi memastikan ilmu praktikal dapat disampaikan dengan tepat, telus dan sejajar dengan kehendak semasa industri.
“Kemudahan pembelajaran yang moden di universiti perlu sentiasa diisi dengan kehadiran pengamal industri. Mereka membawa pengalaman lapangan yang tidak boleh diganti oleh buku teks,” jelasnya.
Sepanjang lawatan itu, delegasi MPI dan wartawan penyiaran berpeluang meninjau fasiliti penyiaran UiTM Rembau, di samping berkongsi pengalaman bersama pelajar dalam sesi yang berlangsung penuh interaksi. MPI turut menyatakan kekaguman terhadap kelengkapan studio yang dianggap setaraf keperluan industri semasa.
Dr. Ainol berkata, fasiliti moden yang dimiliki UiTM Rembau diyakini mampu menjadi platform kukuh bagi pelajar membina kemahiran dalam bidang media, kewartawanan dan komunikasi.
MPI menzahirkan komitmen untuk terus memainkan peranan sebagai pemudah cara antara industri dan akademia dengan menyalurkan lebih ramai tenaga pakar bagi menguatkan ekosistem pendidikan media di negara ini.















