Kepercayaan Awam Teras Media – CEO MPI

PUTRAJAYA, 15 Jun – Industri media perlu terus mempertahankan ketepatan, integriti dan kepercayaan awam meskipun berdepan tekanan untuk menyampaikan berita dengan pantas dalam era digital yang semakin mencabar.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Dr. Ainol Amriz Ismail berkata, perkembangan media sosial, kecerdasan buatan (AI) dan budaya komunikasi masa nyata telah mengubah landskap penyampaian maklumat serta meningkatkan persaingan dalam kalangan organisasi media.

“Tanggungjawab kita bukan hanya untuk menjadi yang terpantas, tetapi untuk menjadi yang paling dipercayai.

“Jika teknologi mengubah cara berita disampaikan, integriti pula menentukan nilai berita tersebut. Jika viraliti menarik perhatian masyarakat, kewartawanan yang beretika akan mengekalkan kepercayaan mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Dialog Industri Balancing Virality and Responsibility: Journalism Amid Speed, Trust and Impact di sini hari ini.

Program selama dua hari itu dianjurkan oleh MPI dengan sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Jabatan Penerangan Malaysia, dan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching.

Menurut beliau, beberapa insiden tular kebelakangan ini yang melibatkan kehilangan nyawa, tragedi kemanusiaan dan isu privasi mengingatkan pengamal media bahawa setiap laporan bukan sekadar berkaitan maklumat, tetapi turut melibatkan kehidupan, emosi dan maruah individu.

Dialog tersebut menghimpunkan ketua-ketua pengarang, pengarang kanan, wartawan, pengamal komunikasi, ahli akademik serta wakil agensi kerajaan dan industri media bagi membincangkan cabaran kewartawanan dalam era digital, khususnya berkaitan kandungan tular, keselamatan dalam talian, etika pelaporan dan kepercayaan awam terhadap media.

Antara penceramah yang mengambil bahagian ialah Ahli Suruhanjaya MCMC, Derek John Fernandez; wartawan TV3 dan jurucakap Persatuan Wartawan Jenayah, Fareez Azman; Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman, Supt. Ta Kah Loon; serta bekas Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman.

Program turut menampilkan sesi plenari yang menghimpunkan Timbalan Editor Eksekutif The Star, Dr. Christina Chin; Pengarah dan Ketua Pengarang Astro Awani, Zaiful Ariffin; serta Ketua Pengarang Vanakkam Malaysia, Thiaga Rajan Muthusamy bagi membincangkan cabaran bilik berita dalam mengimbangi kepantasan, ketepatan dan tanggungjawab pelaporan.

Dr. Ainol berkata, pengamal media perlu terus memperkukuh profesionalisme, pertimbangan etika dan penguasaan teknologi baharu agar kekal relevan dalam landskap media yang sentiasa berubah.

“Media yang dipercayai akan melahirkan masyarakat yang berinformasi, dan masyarakat yang berinformasi menjadi asas kepada sebuah negara yang maju, demokratik dan sejahtera,” katanya.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Create a new perspective on life

Your Ads Here (365 x 270 area)
Latest News
Categories

Subscribe our newsletter