PETALING JAYA, 25 Jun – Tokoh wartawan negara, Datuk A. Kadir Jasin menegaskan bahawa walaupun kecerdasan buatan (AI) semakin menguasai landskap teknologi dan mengubah cara maklumat dihasilkan serta disebarkan, peranan manusia dalam membina naratif yang tepat, beretika dan berasaskan fakta tetap tidak boleh digantikan.
Beliau berkata, AI seharusnya dilihat sebagai teknologi yang memperkukuh proses kewartawanan, bukannya menggantikan fungsi wartawan. Menurutnya, aspek semakan fakta, pengesahan maklumat dan pertimbangan editorial masih memerlukan kebijaksanaan serta pengalaman manusia.
“AI boleh membantu menghasilkan kandungan dengan pantas, tetapi menentukan ketepatan fakta tetap menjadi tanggungjawab wartawan. Maklumat yang diperoleh perlu disemak dan disahkan daripada sumber yang sahih, bukan diterima bulat-bulat daripada AI,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program PEMIKIR: Evolusi Media & Perubahan Industri, anjuran Malaysian Press Institute (MPI), yang turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf, Puan Firdaus Hussamuddin; Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Tuan Haji Namanzee Harris; dan Ketua Editor Vanakkam Malaysia, Encik Thiaga Rajan Muthusamy.

Menurut beliau, perubahan teknologi turut mengubah budaya masyarakat mendapatkan maklumat. Jika dahulu perpustakaan, arkib dan keratan akhbar menjadi sumber rujukan utama, kini generasi baharu lebih banyak bergantung kepada platform digital dan aplikasi AI.
Namun, katanya, kemudahan itu perlu diseimbangkan dengan kemahiran mengemukakan prompt yang tepat serta keupayaan menilai dan mengesahkan maklumat daripada sumber yang berautoriti.
Beliau menegaskan bahawa penguasaan AI merupakan satu kemahiran baharu yang perlu dikuasai oleh wartawan, namun teknologi itu tidak mampu menggantikan nilai pertimbangan manusia, pengalaman di lapangan dan tanggungjawab editorial.
“Teknologi akan terus berkembang, algoritma akan terus berubah, tetapi selagi masyarakat memerlukan maklumat yang tepat, dipercayai dan mempunyai konteks, kewartawanan akan terus relevan. AI membantu proses, tetapi manusialah yang menentukan kebenaran,” katanya.
#mpicommit



